mk-logo
Berita
'Muhyiddin derhaka, langgar sumpah taat setia Agong' - pensyarah

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah melanggar sumpah jawatannya untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, dakwa penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Justeru itu, kata Azman perdana menteri dan seluruh kabinet perlu mempertimbangkan untuk mengundurkan diri dalam memikul tanggungjawab secara bersama.

"Apabila baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita, dan memaklumkan kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat sedangkan belum lagi mendapat perkenan baginda, tindakan ini bertentangan dengan perlembagaan negara dan dilihat tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan.

"Tambahan pula apa yang telah diperkenan dan dipersetujui bersama dengan Takiyuddin menteri undang-undang dan peguam negara Idrus Harun untuk bentang dan bahas pembatalan semua ordinan darurat tidak dilaksanakan.

"Ini merupakan satu bentuk penderhakaan," kata Awang Azman, pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dia berkata demikian kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas teguran keras Istana Negara terhadap Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun mengenai isu pembatalan ordinan darurat.

Menurut Istana Negara, Agong tidak memberi perkenan pembatalan peraturan darurat dan menuduh Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat.

Awang Azman (gambar, atas) percaya Muhyiddin telah memilih langkah itu bertujuan untuk mengelakkan undian di parlimen.

"PM berbuat sedemikian kerana bimbang apabila dibahaskan di parlimen dan dibuat pengundian maka dikhuatiri akan tidak mendapat sokongan majoriti.

"Ini bermakna boleh mengakibatkan kerajaan PN tumbang," kata Awang Azman.

"Ini merupakan peristiwa hitam dalam sejarah dan menjadi krisis perlembagaan yang akan menjadi rekod sejarah dan akademik," katanya lagi.

Apa selepas ini?

Sementara itu, sarjana sains politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkongsi pandangan sama dengan Awang Azman bahawa aturan pertama mesyuarat Dewan Rakyat sepatutnya merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan disiplin.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun manakala enam anggotanya terdiri daripada empat penyokong kerajaan dan dua ahli parlimen pembangkang.

Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order) membolehkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menggantung keanggotaan ahli parlimen.

Selain itu, Muhamad Nadzri berkata usul undi percaya terhadap Muhyiddin juga perlu dibuat di Dewan Rakyat.

"Hal yang sudah lama tertangguh ini, yang menyebabkan kebuntuan politik sejak Mac tahun lepas, tidak boleh lagi dilengah-lengahkan, sebaliknya perlu diselesaikan di dalam parlimen secara tuntas, sebagai jalan keluar krisis politik negara secara demokratik.

"Sama ada kerajaan samasa dapat menunjukkan majoritinya dan meningkatkan keabsahan pemerintahannya, atau mempertahankannya melalui kaedah Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement) atau Perjanjian Moratorium Covid-19, ataupun juga perundingan dan pembentukan kerajaan baru," katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman pula menegaskan PAS perlu bertindak terhadap Takiyuddin.

"Takiyuddin pula perlu dirujuk jawatankuasa parlimen dan parti PAS perlu ambil tindakan terhadap tindakan Takiyuddin sebelum seluruh PAS akan dihukum oleh pengundi nanti," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS