Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laluan di hospital Kota Kinabalu kini jadi wad rawat pesakit Covid-19

Sebuah laluan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah kini ditempatkan dengan katil dan peralatan perubatan untuk merawat pesakit Covid-19, dalam langkah sementara terbaru bagi berdepan peningkatan jangkitan di sana.

Video yang disebarkan di WhatsApp menunjukkan laluan itu, yang menghubungkan Jabatan Kecemasan dengan klinik-klinik pakar, dipenuhi dengan tangki oksigen dan katil yang sudah pun digunakan pesakit.

Malaysiakini difahamkan yang hospital itu juga telah merujuk pesakit bukan Covid-19 ke hospital lain dan klinik pakarnya juga digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Ini bermakna Hospital Queen Elizabeth telah dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya - peranan yang dimainkan ketika peningkatan kes di Sabah selepas PRN tahun lalu.

Menurut pekeliling bertarikh 26 Julai yang dilihat Malaysiakini, pengarah hospital itu Dr William Gotulis mengumumkan semua klinik pakar ditutup sementara bagi menghalang wabak itu terus menular.

"Seperti yang diketahui, ekoran peningkatan kes Covid-19, pihak pengurusan hospital telah mengambil pendekatan menutup sementara perkhidmatan klinik pakar untuk menghalang penularan Covid-19 di kalangan kakitangan dan pengunjung Hospital Queen Elizabeth," katanya.

Seorang sumber dalam Kementerian Kesihatan juga berkata dewan bedah umum juga telah dijadikan wad Unit Rawatan Rapo (ICU), meningkatkan katil ICU daripada 14 kepada 50 buah.

MP mahu jawapan

Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata keadaan itu menyedihkannya kerana ia berlaku selepas tujuh bulan penguatkuasaan darurat bagi mengekang wabak Covid-19.

Membangkitkan kesihatan petugas barisan depan, Liew menggesa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menangani keadaan di hospital itu.

"Ia boleh membahayakan keasihatan fizikal dan mental petugas barisan depan di sana," katanya.

Ketika dihubungi, jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun berkata sebarang persoalan berkenaan keadaan di Hospital Queen Elizabeth perlu dirujuk kepada pengarah JKNS Dr Rose Mudin.

Bagaimanapun, usaha Malaysiakini untuk menghubungi Rose tidak berjaya dan pegawainya berkata tiada kenyataan yang akan dikeluarkan berkenaan perkara itu.

Pada 28 Julai lalu, terdapat 913 kes baru di Sabah. Ia merupakan angka tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

Liew berkata peningkatan tersebut antara lain disebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh orang awam.

Sebelum ini, kerajaan Sabah kekal dengan keputusan untuk membenarkan makan di restoran - bertentangan dengan SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin penghantaran vaksin yang lambat dan pengagihan yang tidak saksama sebagai turut menyumbang kepada masalah itu, dengan menambah ada pesakit di Hospital Queen Elizabeth yang baru menerima dos pertama.

Setakat 28 Julai, Sabah antara negeri dengan kadar vaksinasi paling perlahan, dengan hanya 18.8 peratus penduduknya yang telah menerima dos pertama dan 9.9 peratus yang telah lengkap kedua-dua dos.

Ia jauh berbeza dengan jirannya Sarawak, di mana dengan kadar 59.9 peratus telah menerima dos pertama dan 43.6 peratus lengkap dua dos.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS