Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ujian saringan di Parlimen kesan 9 lagi kes positif Covid-19
Diterbitkan:  Jul 30, 2021 12:05 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Sejumlah 11 kes positif Covid-19 berkaitan sidang Parlimen dikenal pasti setakat ini, dengan sembilan daripadanya dikesan menerusi saringan melibatkan 1,183 individu semalam.

Ujian saringan itu dibuat setelah dua kakitangan Parlimen disahkan positif.

Ujian melibatkan semua ahli parlimen dan kakitangan parlimen - menggunakan RTK Antigen air liur - selesai pada pukul 8.30 malam semalam, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Daripada jumlah yang disaring, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Antigen saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

"Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Satu kes yang dikesan pada tengah hari itu setelah individu tersebut menunjukkan gejala batuk.

Sementara itu, satu lagi kes dikesan di sebuah pusat perubatan semalam, melibatkan seorang petugas parlimen yang bertugas antara 26 hingga 28 Julai. Dia membuat ujian selepa menunjukkan gejala batuk dan selesema.

Merujuk dua kes awal itu, Noor Hisham berkata siasatan mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikenal pasti menerusi satu lagi ujian saringan yang dibuat Jumaat lalu, tiga hari sebelum sidang Parlimen bermula.

"Kedua-dua kes ini juga negatif apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

"Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh sidang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS