story image
mk-logo
Berita
Wanita PN sepakat teguh sokong Muhyiddin, junjung titah Agong

Wanita Perikatan Nasional (Wanita PN) hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri dan ketua kerajaan.

Wanita PN dalam kenyataannya memaklumkan perdana menteri telah memimpin negara dengan sehabis baik dalam suasana sangat mencabar ekoran pandemik Covid-19 dan bersifat taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Perdana menteri telah menzahirkan titah baginda agar diadakan sidang khas parlimen yang sedang berlangsung, segala urusan telah diatur mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang niat untuk menyalahinya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun, Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh, Ketua Wiranita STAR Evelyn Gobile, Ketua Wanita SAPP Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan Janice Wong Oi Foon.

Wanita PN juga menegaskan kerajaan pimpinan Muhyiddin sentiasa menjunjung institusi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Gabungan itu yakin bahawa prinsip tersebut menjadi pedoman kepada kerajaan yang tidak sekali-kali akan menderhaka kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka perlembagaan negara.

"Kami juga menjunjung kasih di atas titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikeluarkan oleh Istana Negara semalam khasnya keprihatinan Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat dan menyeru semua pihak bersama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian," katanya.

Wanita PN turut menyeru semua pihak agar bersama-sama dengan perdana menteri dan kerajaan untuk kembali fokus kepada agenda utama yang paling mendesak iaitu memerangi pandemik Covid-19 serta memulihkan kehidupan rakyat.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS