mk-logo
Berita
Polis akan panggil semua pihak terlibat demo #Lawan

Polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan itu.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan.

Beliau berkata peserta berkenaan telah menyasarkan Dataran Merdeka maka polis telah menghalang mereka memasuki kawasan itu.

“Oleh yang demikian, mereka mengadakan perhimpunan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kami telah beri mereka masa untuk bersurai,” katanya.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Mohamad Zainal berkata kesemua peserta perhimpunan itu mematuhi SOP memakai pelitup separuh muka tetapi gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Jarak fizikal agar sukar dikawal kerana adakalanya kita terlupa, rapat antara satu sama lain. Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam perhimpunan itu,” katanya sambil menambah pihaknya menempatkan seramai 300 pegawai dan anggota polis bagi mengawal perhimpunan itu.

Mengulas sama ada penganjur ada memohon permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu, Mohamad Zainal berkata dalam tempoh kawalan pergerakan ketika ini sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini