Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | MP pembangkang lapor polis lepas disekat ke parlimen

Pergolakan politik Malaysia semakin panas apabila ahli parlimen pembangkang cuba memasuki Dewan Rakyat, namun kesemua jalan masuk disekat.

Mereka berkumpul di Dataran Merdeka dan merancang untuk berarak ke  parlimen hari ini.

Semua ahli parlimen pembangkang dari DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Upko berkumpul untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya .

Parlimen sepatutnya bersidang hari ini tetapi ditangguhkan akibat kes Covid-19.

Malaysiakini melaporkan perkembangan ini secara langsung.


Ahli parlimen PKR buat laporan polis

11.30 pagi: Ahli Parlimen Johor Bahru (PKR), Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis berhubung perhimpunan di hadapan parlimen hari ini.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mereka berada di sana untuk membuat laporan berhubung penutupan parlimen dan tindakan menghalang anggota Dewan Rakyat memasuki bangunan parlimen pagi ini.


Kerajaan bungkam suara rakyat - MP Batu Kawan

11.25am: Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata kerajaan PN cuba membungkam suara rakyat.

"Apabila kamu halang ahli parlimen hadir persidangan parlimen, kamu menyekat suara rakyat ke parlimen.

"Apabila kamu membungkam suara ahli parlimen, kamu bungkamkan suara rakyat.

"Kilang dibenarkan untuk dibuka dan beroperasi, dengan beratus-ratus meskipun bukan beribu-ribu orang yang diuji positif, (tapi) 220 ahli parlimen tidak dibenarkan menghadiri sidang disebabkan kurang dari 1 peratus kes positif," katanya,

Kasthuri berkata banyak negara yang memandang Malaysia sebagai negara yang menegakkan demokrasi selepas Mei 2018, akan melihat negara ini dengan pandangan sebaliknya apabila ahli parlimen berhadapan dengan FRU demi menggunakan hak mereka memasuki parlimen.

Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP Dr Kelvin Yii pula berkata, parlimen seharusnya menjadi tonggak demokrasi tetapi kini berlaku sebaliknya apabila parlimen ditutup.


Kerajaan angkuh makin terasing dari rakyat - Nik Nazmi

11.10 pagi: Setelah mendapat arahan bersurai, Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan PN bertindak angkuh yang menjadikannya semakin terasing dari rakyat.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula mengatakan kerajaan tidak wajar menghalang ahli parlimen pembangkang memasuki parlimen.

"Tidak masuk akal sama sekali semua anggota parlimen dilarang memasuki bangunan Parlimen hari ini tetapi mesyuarat PAC dibenarkan untuk dilanjutkan, dan kakitangan parlimen boleh bekerja di bangunan ini," katanya.

Lim berkata seorang pegawai kanan polis memberitahunya tiada sesiapa memberi arahan untuk melarang anggota prlimen memasuki parlimen ketika dia bertanya perkara itu.


Penggal ketiga parlimen belum diprorog- Fahmi

10.50am: Dataran Merdeka - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ahli parlimen tidak boleh dihalang memasuki Parlimen kerana penggal ketiga parlimen belum diprorog.

"Persidangan parlimen ketiga belum diprorog, itu bermaksud usul itu masih berkuatkuasa jadi kami sangat tidak berpuas hati.

"Jika anda melihat usul, anggota parlimen tidak boleh dihalang memasuki parlimen," kata Fahmi kepada wartawan selepas ahli parlimen pembangkang bersurai.

Menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran hak mereka sebagai ahli parlimen, Fahmi berkata mereka akan menulis surat kepada speaker yang menurutnya mesti memperbetulkan perkara itu.



Anwar umum perarakan bersurai

10.43am: Persimpangan Jalan Parlimen- Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengumumkan perarakan itu bersurai setelah polis menyekat mereka memasuki Dewan Rakyat.


107 MP pembangkang sertai perarakan - Anwar

10.39am: Persimpangan Jalan Parlimen - Beberapa ahli Parlimen gagal berunding dengan pihak polis untuk membenarkan mereka memasuki parlimen.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata seramai 107 ahli parlimen dari semua parti pembangkang menyertai perarakan pagi ini.

Dia berkata, Speaker Dewan Rakyat gagal menunaikan tanggungjawabnya apabila cuba melindungi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menurutnya telah kehilangan keabsahan sebagai perdana menteri.


FRU sekat MP masuki parlimen

10.35am: Persimpangan Jalan ParlimenPasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membuat benteng manusia di hadapan jalan menuju parlimen.

Seorang pegawai polis yang berdiri di atas trak FRU mengumumkan kepada anggota Parlimen dan petugas media bahawa tidak ada individu yang dibenarkan memasuki parlimen.

"Semua orang, bersurai. Kami tidak akan benarkan sesiapa pun masuk, ” kata seorang anggota dari atas trak berkenaan.

Terdapat barisan trak FRU merah diparkir di belakang kenderaan itu.

Sementara itu, para ahli parlimen berdiri di hadapan sekatan itu dan melaungkan pelbagai slogan termasuk "daulat tuanku" dan "Muhyiddin undur".


MP pembangkang mula berarak

10.25 pagi: Dataran Merdeka - Ahli Parlimen pembangkang mula berarak menuju Parlimen dari sini.

Sebilangan mereka mengangkat sepanduk yang bertuliskan "Mahiaddin dan kabinet letak jawatan" ketika berarak.

Mereka juga menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita dan melaungkan 'Reformasi' ketika berarak.


Dr Mahathir tiba di Dataran Merdeka

10.15 pagi: Dataran Merdeka - Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tiba untuk menyertai ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Langkawi dan pengerusi Pejuang itu juga memberi ucapan ringkas kepada anggota parlimen sebelum menyertai perarakan ke parlimen.


'Parlimen tempat kerja MP'

10am: Dataran Merdeka - Sebilangan ahli parlimen pembangkang berkumpul di sini berikutan jalan menuju parlimen disekat pihak polis.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail berkata, parlimen adalah 'tempat kerja' untuk wakil rakyat dan mereka akan berusaha sebaik mungkin memasuki parlimen.

Pemimpin pembangkang bergilir-gilir memberikan ucapan terlebih dahulu sebelum merancang untuk berarak ke parlimen.

"Undur Muhyiddin, hidup rakyat, hidup Yang di-Pertuan Agong," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di akhir ucapannya, bersama anggota parlimen yang lain.

Turut hadir ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.  


MP berkumpul di Dataran, rancang berarak

9.50am: Ahli-ahli parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka sebagai persediaan untuk berarak ke parlimen setelah gagal mengadakan rundingan.

Sejak awal pagi ini, beberapa trak Black Maria dilihat berada di lokasi di sekitar parlimen.

Anggota pasukan Light Strike Force, selain anggota polis biasa dan pegawai trafik turut dilihat di sekatan jalan raya.


MP berkumpul depan Bank Rakyat

9.20am: Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, sekumpulan ahli parlimen lain berkumpul di bangunan Bank Rakyat di Bulatan Dato Onn, kira-kira 1.5km dari parlimen.

"Jalan raya semua disekat. Kami tidak dibenarkan masuk (ke parlimen).

"Jadi kita boleh berkumpul di lokasi lain dan terus berjalan," kata Yii.


Jalan-jalan utama ditutup

9.00 am: Jalan-jalan utama menuju ke bangunan parlimen di Kuala Lumpur ditutup bagi menghalang kemasukan ahli-ahli pembangkang berikutan penangguhan sidang khas parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyiarkan gambarnya berdiri di tepi jalan bersama dua ahli Parlimen lain.

"Lockdown Parlimen?! Jalan masuk ke parlimen semuanya disekat oleh polis," katanya di Facebook.

Chan juga berkongsi satu lagi gambar polis trafik sedang bertugas di sekatan jalan raya.

 

Lihat Komen
ADS