Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP BN didakwa adakan perjumpaan, tandatangan SD pro-PM
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 1:31 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Sekumpulan lebih 25 anggota parlimen BN dikatakan mengadakan perjumpaan malam tadi di Wisma Perwira, Kuala Lumpur - bangunan milik Kementerian Pertahanan.

Menurut satu sumber Umno, mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk mengekalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Sebanyak 26 ahli parlimen BN termasuk wakil komponen BN (MCA, MIC dan PBRS) menghadiri perjumpaan itu yang diketuai timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Mereka mengadakan perjumpaan itu agar menandatangani SD bagi menyokong Muhyiddin Yassin," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim untuk mendapatkan pengesahan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seramai 30 MP BN menandatangani SD menyokong Muhyiddin selepas didakwa ada percubaan menolak kenyataan Ismail berkaitan sokongan 40 ahli parlimen BN yang mahu kerajaan PN terus berkuasa.

"Perjumpaan semalam dimulakan dengan makan malam disajikan sebelum 30 anggota parlimen BN yang hadir bersetuju untuk menandatangani SD yang tetap menyokong Muhyiddin dan Kerajaan PN.

"Mesyuarat dipengerusikan oleh anggota parlimen Arau (Shahidan), dengan Ismail Sabri membuat ucapan aluan," lapor akhbar itu memetik seorang ahli parlimen BN yang menghadiri perjumpaan itu.

"Baki 10 anggota Parlimen yang sebelumnya menyatakan sokongan mereka sebelum ini tidak dapat hadir kerana mereka hanya diberitahu mengenai perjumpaan rahsia pada saat-saat terakhir.

"Bagaimanapun, mereka semua dijamin menandatangani SD melalui wakil yang dilantik," tambah ahli parlimen itu.

Namun, sumber Umno memberitahu Malaysiakini bahawa hanya 26 ahli parlimen hadir secara fizikal.

Sebelum perjumpaan semalam, Ismail memberitahu bahawa 40 dari 42 ahli parlimen BN menyokong Muhyiddin.

Kenyataan Ahli Parlimen Bera itu disusuli oleh setiausaha eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz, yang mengecam kenyataan itu sebagai palsu dan menambah bahawa ada masalah dengan penggunaan surat yang menggunakan logo dan alamat parti.

Ahli parlimen Padang Rengas Nazri Aziz mengesahkan pertemuan 40 ahli parlimen BN di parlimen, dengan dua yang tidak hadir - Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Bagan Ahmad Zahid Hamidi - sebagai yang tidak menyokong Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS