Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Smart SBB: Pesawah disaran fikir panjang
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 1:55 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menolak rancangan kerajaan bagi projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Malah, mereka menggesa petani dan pemilik tanah sawah yang berhasrat menyertai projek itu tidak mengambil sikap terburu-buru.

Petani dan pemilik sawah juga disaran mendapatkan nasihatkan dan merujuk petani berpengalaman selain meminta bantuan guaman atau mereka yang mahir sebelum menandatangani apa-apa perjanjian.

PeSAWAH dan FKMM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapati projek SBB akan memberi kuasa kepada pengurusan estet melakukan apa sahaja projek yang mereka mahu di kawasan yang mereka pajak atau miliki.

"Sebelum ini, para petani diberitahu bahawa projek SBB ini akan memfokuskan penambahbaikan penanaman padi untuk meningkatkan hasil.

"Sasaran yang ditetapkan untuk projek ini adalah peningkatan tahap sara diri (SSL) beras kepada 75% dan pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan per hektar dan pendapatan purata petani akan ditingkatkan kepada RM7,000 setahun per hektar.

"Bagaimanapun, belum pun setahun projek ini berjalan, pihak estet telah mengubah strategi dengan mahu menternak udang pula," kata mereka.

Mengulas lanjut, PeSAWAH dan FKMM mempersoalkan adakah pihak syarikat peneraju tidak yakin dengan perancangan tanaman padi ‘smart’ mereka sendiri.

"Atau pun dari awal lagi tidak berminat dengan agenda peningkatan pengeluaran padi tempatan kerana lebih mudah dan untung mengimport beras dan menternak udang?” soalnya.

Baru baru ini Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Smart SBB antara kerajaan dengan 11 syarikat peneraju.

Projek Smart SBB dijangka meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 kepada RM7,900 setahun.

Menterinya, Ronald Kiandee berkata, pendapatan bersih sehektar pula dijangka meningkat daripada RM5,400 sehingga ke RM15,600 setahun jika purata produktiviti sehektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran tujuh tan metrik.

Ronald Kiandee 

Bagaimanapun, Ahad lepas Mafi memperkenalkan projek ternak udang galah dalam sawah padi untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Menurut kenyataan itu, sejarah daripada projek ternakan udang harimau di Kerpan, Kedah pada 90-an atas tanah sawah sepatutnya menjadi pengajaran.

Kata PeSAWAH dan FKMM, apabila sawah dijadikan kolam udang, ia akan membawa masalah lain seperti pencemaran tanah dan air yang lama.

"Malah, ia tidak sesuai lagi ditukar kembali kepada sawah apabila tempoh pajakan berakhir,” kata mereka yang turut membangkitkan projek ternakan ikan arowana di kawasan sawah sekitar Tasik Bukit Merah.

Malaysiakini cuba mendapatkan reaksi Ronald Kiandee atas dakwaan ini.

Lihat Komen
ADS