Kes baru Covid-19 hari ini sekali lagi mencatat rekod tertinggi apabila jumlah yang dikesan setakat tengah hari ini hampir sebanyak 20,000 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu menjadi 1.183 juta.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 12 tengah hari tadi seramai 19,819 orang disahkan dijangkiti wabak berbahaya tersebut.

Selangor kekal menjadi negeri yang mencatatkan kes positif tertinggi iaitu 8,377 kes diikuti Kuala Lumpur 2,467, Johor (1,162 kes), Sabah (949) dan Sarawak (552).

Berdasarkan angka yang direkodkan KKM, Kelantan dan Pulau Pinang hari ini mencatatkan kes baru tertingi dengan masing-masing 1,003 dan 867.

Berikut status utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Pesakit sembuh: 12,704
  • Kes baru : 19,819
  • Pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU): 1,069
  • Peakit memerlukan bantuan pernafasan : 553
  • Kematian : 257

Dalam pada itu, bilangan untuk pesakit dalam ICU dan yang memerlukan bantuan pernafasan juga pada jumlah tertinggi.

Kematian

Dengan 257 lagi pesakit yang meninggal dunia hari ini, jumlah korban akibat Covid-19 setakat ini adalah seramai 9,855 orang.

Kes kematian hari ini dilaporkan di Selangor (91), Kuala Lumpur (74), Johor (25), Melaka (24), Perak (9), Negeri Sembilan (9), Kedah (8), Sabah (6), Terengganu (4), Pulau Pinang (3), Kelantan (3) dan Pahang (1).

Seramai 51 pesakit yang meninggal dunia tiada sejarah penyakit kronik.

Seramai 21 pesakit pula meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Kluster

Terdapat 35 lagi kluster baru yang dikenal pasti hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif semasa sebanyak 1,161 kluster.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kluster dalam kategori komuniti, 14 kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan.