Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila membaca posting media sosial dan pandangan negatif mereka yang kononnya mengaku pakar sains politik terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin saya teringat betapa tidak popularnya Abraham Lincoln tatkala menduduki Rumah Putih.

Ini salah satu contoh dari begitu banyak kecaman terhadap Lincoln:

“The illustrious Honest Abe has continued during the last week to make a fool of himself and to mortify and shame the intelligent people of this great nation ...he is no more capable of becoming a statesman, nay, even a moderate one, than the braying ass can become a lion …..His weak , wishy-washy, namby-pamby efforts, imbecile in matter, disgusting in manner, has made us the laughing stock of the whole world.”

Hari ini rakyat Amerika menilai Abraham Lincoln sebagai presiden mereka yang paling agung. Sanjungan yang universal ini dikongsi oleh seramai seratus ahli sejarah Amerika dan penulis-penulis biografi beliau. Lincoln menjadi legenda kepada apa yang beliau ungkapan:

“We shall nobly save, or meanly lose, the last best hope on earth.”

Sebagaimana serangan politik terhadap Lincoln semakin tajam apabila tenteranya mengalami kekalahan demi kekalahan di peringkat awal perang saudara, begitu juga media sosial tempatan bersekongkol dengan pembangkang melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Muhyiddin apabila kejayaan di peringkat awal melawan Covid-19 terhapus dengan serangan varian Delta.

Lihat sahaja perangai ahli-ahli parlimen pembangkang yang bergelagat seperti ungka dan siamang membuat hiruk-piruk apabila menteri-menteri berucap memberi penerangan. Masa saya kecil-kecil dahulu, rumah kami di Kampung Paya Lebar, Melaka, terletak jauh 10 km dari hutan bakau sungai yang rimbun dan banyak dihuni oleh berbagai spesies monyet seperti kera, lotong, ungka dan siamang. Apabila mereka mereka berbahas dalam parlimin maka riuhlah satu hutan bakau. Tetapi ungka dan siamang akan mendominasi, kerana suara mereka amat nyaring dan bingitnya sampai ke kampung kami.

Bingit yang dihadapi oleh pentadbiran Muhyiddin seperti yang dialami oleh Lincoln di awal kepresidenannya. Tetapi apabila tentera Lincoln di bawah kepimpinan General Ulysses S Grant memenangi pertempuran demi pertempuran dan General Robert E Lee menyerah kalah, perhambaan dihapuskan, Amerika Syarikat tidak berpecah dua, pengkritik Lincoln mulai senyap dan beliau dipilih semula sebagai presiden untuk penggal kedua.

Saya yakin senario yang sama akan berlaku di Malaysia. Kunci kepada kemenangan Lincoln, selain dari kepemimpinan Gen. Grant, adalah jumlah tenteranya. Pada permulaan perang saudara jumlah tentera pada kedua-dua pihak hampir sama, tetapi jumlah tentera Union terus meningkat dan mencecah dua kali ganda tentera Confederate yang melancarkan tindakan ketenteraan untuk pemisahan untuk mempertahankan institusi perhambaan.

Senjata utama Muhyiddin

Senjata utama kepada Muhyiddin untuk melawan Covid-19 di Malaysia adalah bekalan vaksin yang mencukupi untuk mencapai imuniti kelompok. Kini kadar vaksinasi adalah antara yang tertinggi di dunia dan Malaysia sekarang menuju ke arah imuniti kelompok. Dari data yang ada kerajaan Perikatan Nasional bawah kepimpinan Muhyiddin akan berjaya dalam perang Covid-19 sebagaimana Lincoln memenangi perang saudara Amerika.

Vaksin bagi Muhyiddin adalah seperti Army of the Potomac, tentera utama pihak Union, yang menawan Richmond, ibu negara Confederate, dan membawa kemenangan kepada Lincoln dan golongan yang mahu menghapuskan perhambaan.

Namun perjuangan melawan Covid hanya satu wajah dari pelbagai kegetiran yang dihadapi Malaysia hari ini. Vaksinasi nasional bertambah pantas dan menuju imuniti kelompok. Tetapi apakah kita mahu melihat, tatkala Malaysia dalam proses mencapai imuniti kelompok, ratusan ribu, bahkan berjuta rakyat kehilangan pekerjaan, melarat dan tidak dapat menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga? Apakah kita boleh melakukan trade off antara menjaga kesihatan rakyat dengan pekerjaan dan periuk nasi rakyat?

Hakikatnya adalah kesihatan dan ekonomi tidak boleh dipisahkan. Yang sakit adalah rakyat, yang hilang pekerjaan juga rakyat. Jangan mengatakan membuka kilang hanya kerana korporat keparat kerana kilang juga tempat mata pencarian berjuta proletariat. Kita boleh menghidu retorika class war dalam kenyataan-kenyataan Ketua Pembangkang. Bila Mao Zedong tiada lagi dan Gang of Four tewas, negara komunis pun menolak class war. Hanya ketua pembangkang Malaysia masih mahu mengulangi retorika class war yang sudah lama basi. Sebab itulah beliau lima kali ditewaskan oleh Azmin Ali.

Dalam menekankan maha pentingnya mengimbangi tuntutan kesihatan dengan keperluan ekonomi rakyat, peranan Azmin Ali amat menonjol. Maka dia menjadi sasaran bedilan bertalu-talu pembangkang dan pengamal media sosial. Beberapa simpatisan Azmin dalam dunia media cemas. Kepada mereka saya ujarkan:

“Azmin Ali ini seperti Sang Bima dalam Hikayat Pandawa Lima. Justeru kerana Sang Bima kuat dan menjadi benteng kepada Pandawa lima beradik, dia sangat dibenci oleh pihak Kurawa yang jahat. Satu hari adik beradik Kurawa bertekad untuk membunuh Bima. Mereka menangkap Bima, mengikat dan mencampakkanya ke dalam sungai yang dipenuhi ular berbisa. Ular-ular pun mematuk-matuk Bima. Matikah Bima? Bima bukan sahaja tidak mati, bahkan semakin kuat kebalnya.”

Dalam inisiatif untuk mencerdaskan ekonomi dan menangani “unintended consequences” dari PKP peranan yang dimainkan oleh Azmin Ali adalah seperti William Tecumseh Sherman, seorang jenderal kepada Lincoln yang bukan sembarangan. General Sherman melaksanakan kempen “March to the Sea” yang mematahkan tulang belakang strategik Confederate sehingga memusnahkan upaya melawan dari pihak Selatan.

Cuma peranan Azmin terbalik. Kempen Sherman bersifat destruktif dengan menghancurkan infrastruktur Confederate, kilang, jalan, pengangkutan kereta api. Peranan Azmin bersifat konstruktif dan produktif. Beliau meyakinkan MKN mengambil pendekatan berimbang antara tanggungjawab memelihara kesihatan dengan keperluan menjaga periuk nasi rakyat,berjuta proletariat kilang, ratusan ribu Mak Cik Kiah.

Cabaran Azmin

Ini bermula dengan memastikan bekalan keperluan asas beroperasi. Bagaimana kita hendak membeli beras? Adakah dengan membawa cupak ke kilang beras? Kita membeli beras di supermarket yang dibungkus dengan plastik. Beras banyak brand dan gred. Kita mengenal brand dan gred yang kita mahu beli melalui cap dan lebelnya. Maka kilang plastik, cat dan percetakan perlu berjalan. Begitu juga tin biskut, sardin, minyak masak dan minuman. Jangan lupa pengangkutan. Beras dan roti tidak akan sampai ke supermarket kalau tidak dihantar oleh lori. Maka bekalan asas hanya akan sampai kepada pengguna apabila kilang-kilang dalam rantaian bekalan dan perkhidmatan turut beroperasi.

Walaupun beliau dikecam hebat, Azmin tidak berganjak dari dasar yang disepakati dalam MKN untuk menjaga nyawa ekonomi Malaysia. Kita perlu akur bahawa cabaran amat berat. Tetapi Malaysia jauh dari sebuah negara gagal. Data perdagangan antarabangsa dan pelaburan amat meyakinkan. Perdagangan antarabangsa negara terus mencatat rekod baru. Eksport negara merekodkan pentingkatan 10 bulan berturut-turut.

Dalam situasi Covid-19 mengganas prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.2 peratus kepada RM105.47 bilion. Ditengah-tengah tohmahan ketidak stabilan politik pelaburan asing terus menunjukan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia. Misi perdagangan dan pelabur ke Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, UAE, Qatar dan Turki yang dipimpin oleh Azmin Ali mencatatkan potensi pelaburan sebanyak RM38.6 billion dan penciptaan pekerjaan melebihi 28,000.

Selain dari pelaburan dalam negeri, pelaburan asing memainkan peranan penting untuk merancakkan ekonomi pasca Covid. Pelabur asing terus yakin dengan prospek ekonomi Malaysia meskipun pembangkang dan cyber troopers mereka berterusan meremehkan usaha Kerajaan.

Dari segi politik, Malaysia sedang melalui fasa yang belum pernah ditempuh sebelum ini. Sebagai sebuah negara demokrasi rakyat adalah penentu kepada masa depan politik negara. Kini pembangkang kelihatan mendominasi naratif politik melalui media sosial. Namun jangan lupa kepada “the silent majority”. Media sosial punya pengaruh dalam membentuk persepsi. Tetapi Kerajaan PN mempunyai data dan fakta disampingnya. Bila data dan fakta ini akan digunakan dalam political contestation adalah satu keputusan politik.

Pertembungan politik dalam sistem demokrasi yang Malaysia amalkan adalah bersifat binari, parti gabungan kerajaan di satu pihak dan gabungan pembangkang di pihak yang lain. Bila tiba masanya rakyat akan memilih antara dua pihak: Di satu pihak, kerajaan melaksanakan tugas dan amanahnya, membuat dasar yang melaksanakan apa yang ia kira terbaik untuk rakyat. Apa yang kerajaan lakukan dapat disaksikan dan boleh dihitung. Inilah advantage terbesar kepada gabungan parti memerintah. Senjata yang ada pada pembangkang adalah mulut mereka. Apa yang keluar dari mulut pembangkang boleh jadi bernas dan mencetuskan inspirasi. Tetapi yang keluar dari mulut mereka boleh jadi juga hanya sekadar bingit dan hiruk-piruk seperti gerombolan ungka dan siamang.

Di permulaan makalah saya menggunakan analogi pentadbiran Abah dengan Lincoln di zaman perang saudara Amerika. Kita juga sedang berperang dengan Covid-19. Dalam peperangan perlu ada “the will to win”. Kita perlu keluar dari padangan sempit dan cetek masa sekarang. Kita perlu mengambil iktibar dan inspirasi dari sejarah peperangan yang paling besar dalam sejarah umat manusia - Perang Dunia Kedua.

Setelah menakluki Eropah, Hitler melancarkan Operation Barbarossa (Unternehmen Barbarossa) untuk mencipta kerajaan seribu tahun (Taudendjähriges Reich). Angkuh dengan kejayaan Blitzkrieg menawan Eropah. Hitler meramalkan perang untuk menakluk Rusia akan tamat dalam beberapa minggu. Apabila Wehrmacht, tentera Hitler, mara pantas dan hanya beberapa kilometer sahaja dari Moscow, bukan sahaja Hitler, bahkan juga dunia menjangka Russia sedang menghembuskan nafas terakhir.

Tetapi Rusia tidak menaikan bendera putih, rakyatnya bersatu di belakang Stalin yang zalim itu untuk terus melawan. Tentera Merah Rusia bahawa kepimpinan Marshal Georgy Zhukov melupa kezaliman Hitler membunuh pegawai-pegawai tertinggi tentera sebelum itu. Dengan semangat untuk menang mereka membebaskan setiap inci bumi Rusia, menawan Berlin dan menamatkan Perang Dunia Kedua.

Post scriptum: Peristiwa 2 Ogos di mana ketua pembangkang menggunakan presiden Umno sebagai bidaknya untuk sekali lagi menjatuhkan kerajaan. 


KHALID JAAFAR ialah penasihat menteri kanan Azmin Ali. Rencana ini selesai ditulis tatkala menjalani pemantauan Covid-19 (30 Julai-1O Ogos) di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS