‘Tindakan pada pengkritik MB Kedah kekang kebebasan bersuara’
Pemuda PKR menggesa dan untuk memberhentikan tindakan terhadap pihak yang mengkritik ahli politik.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas empat individu diitahan kerana menyelar Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana bergurau mengenai kontena mayat pesakit Covid-19.
Ketua Pemuda PKR Kedah Mohammed Firdaus Johari dan setiausaha biro undang-undang parti itu, Darwin Lim Chee Chien berkata penahanan itu adalah penindasan terhadap kebebasan bersuara dan bertentangan dengan undang-undang.
"Kami percaya bahawa menggunakan undang-undang tersebut untuk menyiasat individu terbabit adalah satu bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara dan merosakkan konsep semak dan imbang rakyat terhadap kerajaan.
"Siasatan polis terhadap mereka adalah tindakan kejam dan bertentangan dengan peraturan undang-undang negara kita kerana kebebasan bersuara termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Keempat-empat individu yang ditahan di seluruh negara ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terbaru kelmarin, seorang warga emas berusia 61 tahun daripada Negeri Sembilan ditangkap.
Firdaus dan Lim bimbang tindakan polis itu akan mewujudkan budaya ketakutan dan orang ramai tidak lagi berani menggunakan hak mereka yang dijamin dalam perlembagaan.
“Oleh itu, kami mendesak polis untuk menghentikan penggunaan undang-undang tersebut terhadap individu berkenaan.
"Menteri besar Kedah harus bertanggung jawab penuh atas kejadian ini dan meminta maaf kepada rakyat atas kegagalannya memberikan teladan yang baik sebagai pemimpin kerajaan," tambah mereka.
Penangkapan individu berkenaan baru-baru ini oleh polis mendapat reaksi balas pelbagai pihak, termasuk timbalan ketua PSM, S Arutchelvan dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.
Sanusi tidak asing dengan kontroversi.
Menteri besar itu sebelum ini dikritik dan didenda kerana memandu uji kenderaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

