Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negara perlukan lebih ramai pakar kesihatan awam, kata Noor Hisham

Negara ini perlu membuat banyak pelaburan bagi melahirkan lebih ramai pakar kesihatan awam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menjawab soalan wartawan melalui sidang media secara maya hari ini, Noor Hisham berkata penting untuk negara ini memberi perhatian kepada kepakaran bidan tersebut serta mempunyai pelan yang lebih meluas berkaitan kesihatan awam.

Katanya, keperluan itu dirasakan lebih mendesak jika melihat apa yang sedang dihadapi sekarang.

"Saya seorang pakar bedah, dan dalam kalangan kakitangan perubatan kita, ramai yang menjadi pakar pembedahan, kardiologi dan lain-lain.

"Tetapi kita (juga) memerlukan pakar terbaik dalam bidang kesihatan awam," katanya ketika ditanya mengenai pembaharuan sistem penjagaan kesihatan awam negara sekarang.

Sebelum itu Noor Hisham berucap di Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific. Dia juga menyertai sesi dialog dengan peserta persidangan berkenaan.

Menurut Noor Hisham negara kini berdepan dengan kekurangan pakar kesihatan awam berbanding keadaan dialami lima tahun lalu.

Dia juga menegaskan pentingnya membangunkanperancangan yang lebih besar untuk negara ini, termasuk menubuhkan agensi penyelidikan seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di AS.

"Ini hanya permulaan pandemik, dan akan ada lebih banyak lagi wabak pada masa akan datang," katanya merujuk pada wabak Covid-19 yang hingga kini meragut hampir 12,000 nyawa di negara ini.

Sebagai rekod kesihatan awam adalah cabang perubatan yang termasuk aspek kebersihan, epidemiologi, dan pencegahan penyakit.

"Saya fikir ini akan menjadi perkara pertama yang akan saya beri perhatian untuk transformasi penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lain daripada peserta, Noor Hisham mengesahkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menamatkan latihan pakar untuk doktor selama tiga bulan.

Hal itu, katanya, dilakukan kerana KKM harus menggerakkan semua sumbernya, termasuk doktor pelatih, untuk menangani kes Covid-19.

"Kita sekarang berperang. (Kita) kekurangan sumber manusia dan kita perlu membuka lebih banyak katil.

"Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, misalnya, adalah hospital baru tanpa sumber manusia," katanya.

Justeru tambah Noor Hisham KKM perlu menggerakkan sumber yang ada - termasuk doktor pelatih, dan jururawat pascaasas untuk menguruskannya.

Noor Hisham berkata, KKM juga meramalkan jumlah kes Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum ia mula menunjukkan kecenderungan menurun.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS