Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejuang tak bincang sokong sesiapa, kekal gesa tubuh Majlis Pemulihan Negara

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) enggan menyertai perlumbaan mencari calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang dijangka meletakkan jawatan esok.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya berkata, pihaknya bertegas badan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) perlu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Marzuki berkata, setakat ini Pejuang tidak mengadakan apa-apa perbincangan serius berhubung memberi sokongan kepada mana-mana individu sebagai perdana menteri seterusnya.

"Setakat ini, setakat anda hubungi saya, Pejuang tidak pernah memutuskan untuk menyokong sesiapa sebagai perdana menteri.

"Pendirian kami mudah - dengan keadaan semasa negara, tidak ada penyelesaian politik.

"Jalan terbaik yang kami cadangkan adalah Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang menjaga kesejahteraan rakyat dan negara," katanya kepada Malaysiakini.

Marzuki juga menyangkal laporan yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Petaling Jaya malam ini.

Pegawai Anwar juga menafikan pertemuan itu berlaku.

Pejuang yang memiliki empat ahli parlimen adalah dalam satu blok dengan Warisan yang memiliki lapan ahli parlimen.

Mahathir, yang merupakan pengerusi Pejuang, sebelum ini mencadangkan MPN - satu badan seakan Mageran yang mentadbir negara selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga 1971.

Ketika itu, Parlimen digantung dan Mageran yang merangkumi lapan anggota mentadbir dengan kuasa darurat.

Bagaimanapun, MPN yang dicadangkan Mahathir tidak menggantung Parlimen.

Dia yang sebelum ini membawa cadangan itu ke Istana Negara telah menyenaraikan 20 nama - kebanyakannya bukan ahli politik - sebagai anggota majlis tersebut.

Ia termasuk pakar perubatan Dr Abu Bakar Suleiman, Dr Adeeba Kamarulzaman, Dr Lam Sai Kit, Dr Musa Nordin, Dr Amar Singh HSS dan Dr Kumitaa Theva Das serta pakar perundangan Shad Saleem Faruqi dan Salleh Buang.

Dia juga mencadangkan nama bekas menteri Rafidah Aziz, pakar ekonomi Jomo K Sundaram, bekas CEO Petronas Mohd Hassan Merican, bekas ahli perbankan Li See Yan, ahli akademik Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz and Mohd Shukri Ab Yajid, guru Samuel Isaiah dan ahli perniagaan Mohamed Azman Yahya.

Ahli politik yang disenaraikan Mahathir - yang menurutnya berdasarkan prestasi mereka ketika penularan wabak Covid-19 - adalah Azalina Othman Said (timbalan speaker Dewan Rakyat), Hannah Yeoh (DAP-Segambut), Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Lihat Komen
ADS