Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP, PAT, AG, KSN, tiba untuk mesyuarat khas Kabinet
Diterbitkan:  Aug 16, 2021 9:30 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Beberapa penjawat awam kanan dilaporkan sudah berada di Bangunan Perdana Putra, putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri

Mereka dijadualkan menghadiri mesyuarat khas Kabinet yang akan dipengerusikan Prdana Menteri, Muhyiddin Yassin, pada kira-kira jam 10 pagi nanti.

Antara mereka adalah Peguam Negara, Idrus Harun yang tiba pada jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu, Berita Harian Online turut melaporkan, terdahulu, kenderaan membawa Ketua Polis Negara (IGP), Acryl Sani Abdullah Sani; diikuti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jen Affendi Zali dilihat memasuki kawasan bangunan sama.

Bernama pula melaporkan perdana menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah media yang telah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.

Dia tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Kenderaan-kenderaan yang dinaiki menteri-menteri Kabinet mula dilihat memasuki Perdana Putra sejak 9.30 pagi.

Antara yang kelihatan ialah kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri smail Sabri Yaakob.

Turut kelihatan kenderaan yang membawa menteri-menteri kanan iaitu Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan  Radzi Jidin.

Kenderaan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong juga memasuki bangunan itu.

Putrajaya menjadi tumpuan susulan kenyataan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof yang memaklumkan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Dia dilaporkan berkata, keputusan itu antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada Bersatu dengan Muhyiddin di Publika, semalam.

Muhyiddin dilaporkan terpaksa berbuat demikian susulan hilang majoriti selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.

Pada masa sama, 23 lagi ahli parlimen Umno termasuk naib presiden Ismail Sabri terus menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya peletakan jawatannya diterima yang di-Pertuan Agong, hari ini, Muhyiddin akan menjadi perdana menteri yang paling pendek dalam sejarah - setelah 17 bulan memegang jawatan itu.

Ini adalah kira-kira lima bulan kurang daripada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri penggal kedua.

Lihat Komen
ADS