Covid-19: Kilang jadi kluster tempat kerja tertinggi sejak Mac
Kluster di tempat kerja terus mencatatkan peningkatan dalam fasa kedua gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 1,549 kluster yang dikesan sejak 28 Mac hingga semalam, 50.35 peratus daripadanya membabitkan kilang-kilang, diikuti sektor perkhidmatan (16.78 peratus) dan sektor pembinaan (11.68 peratus).
Kluster tempat kerja itu, katanya, mencatatkan 133,247 kes positif Covid-19 dengan 370 kes membabitkan kematian.
Seramai 32 individu dari kluster tempat kerja masih ditempatkan di unit rawatan rapi. Pada masa sama KKM masih memantau 764 kluster tempat kerja.
Kira-kira satu per empat kluster tempat kerja itu dilaporkan di Selangor, diikuti Johor (20.8 peratus) dan Kuala Lumpur (9.6 peratus).
Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sejak 12 Mei lalu, diikuti dengan sekatan pegerakan penuh (kuncitara) mulai 1 Jun. Pun begitu sektor perkilangan dibenar beroperasi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata hanya kilang makanan dan keperluan asas seperti beras, roti, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar dan susu tepung bayi, ubat dan topeng muka yang boleh beroperasi sepanjang penguatkuasaan PKP diperketatkan di Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur mulai 3 Julai.
Sekatan itu bagaimanapun ditamatkan pada 16 Ogos.
Kerajaan kini membenarkan kilang beroperasi dengan kapasiti penuh jika sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja mereka sudah divaksin sepenuhnya.
KKM berkata usaha untuk menurunkan kluster di tempat kerja kerajaan mengemas kini garis panduan pengurusan untuk tempat kerja.
Menurut KKM lagi, mereka serta pelbagai agensi lain juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri pada 27 Julai, 5 Ogos dan 17 Ogos lalu.
"Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa sebelum ini sehingga membawa kepada banyak kematian akibat Covid-19, serta penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial berikutan peningkatan kluster di tempat kerja dan kluster komuniti.
"Kita seharusnya sama-sama mengambil rasa tanggungjawab dalam memelihara negara daripada terus dibelenggu oleh pandemik Covid-19," kata Noor Hisham.
Dalam fasa kedua gelombang ketiga ini juga, KKM mengesan 880 kluster komuniti yang melibatkan 58,776 kes positif Covid-19 dan 417 kematian.
Sebilangan besar kluster komuniti tertinggi dilaporkan di Kelantan, Sarawak dan Sabah.
Kluster komuniti yang dilaporkan itu berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat seperti aktiviti ziarah-menziarahi keluarga atau penularan di kawasan kediaman, komuniti di rumah panjang dan majlis sambutan perayaan.

