Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong jadi 'kingmaker' dalam kemelut politik terkini

Untuk ketiga kalinya sejak 2018, lanskap politik negara bergegar sekali lagi. 

Pada awalnya, para pengundi dicanangkan sebagai 'king maker' setelah kerajaan BN yang berkuasa selama enam dekad, tumbang.

Dua puluh dua bulan kemudian, gegaran kedua terjadi lagi dalam bentuk rampasan kuasa politik ketika pandemik mula melanda seluruh dunia, di mana Parti Gabungan Sarawak (GPS) ketika itu menjadi 'king maker' apabila memihak kepada Perikatan Nasional.

Tujuh belas bulan kemudian, musuh, yang telah bertukar kawan, berubah menjadi musuh sekali lagi, di tengah-tengah angka kematian lebih 13,000 akibat Covid-19.

GPS, yang memiliki 18 ahli parlimen, nampaknya memiliki kuasa penentu sekali lagi. Namun, kali ini, ia menyerahkan peranan 'kingmaker' itu kepada Agong.

Ada kebimbangan terhadap perkembangan ini berkaitan kuasa Raja Berperlembagaan, dengan beberapa pihak khuatir ia akan menjadi duluan (precedent) berbahaya.

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, bagaimanapun berpendapat GPS membuat keputusan yang bijak dan menyelamatkan negara daripada satu lagi krisis politik yang berpanjangan.

"Dengan memberi Agong fleksibiliti untuk menamakan pilihan baginda, GPS telah menghindari apa yang mungkin menjadi perselisihan dalam kehidupan berpolitik kita," katanya kepada Malaysiakini.

Zaid juga yakin keputusan Agong akan diterima dengan baik dan membantu melancarkan undi percaya di parlimen.

"Hasrat Agong adalah untuk melihat PM yang kompeten dan tidak berkompromi.

"Harapannya adalah agar PM secocok dan bersedia bekerja dengan semua pihak, dan kualiti calon yang lain hanya dapat dipastikan oleh Agong sendiri. Tentunya bukan oleh ahli parlimen yang selalunya ada kepentingan untuk dilindungi, ”tambahnya.

'Siapa lagi yang dapat kita tuju?'

Zaid mengakui ada pihak yang bimbang Agong akan menjadi "terlalu tegas dan istana telah mengambil langkah terlalu jauh."

"Kepada mereka saya katakan ini - peranan Agong kita adalah bertimbang rasa.

"Ketika ahli politik minta untuk dilantik menjadi menteri setelah 'Langkah Sheraton ', Agong menuruti mereka tanpa memberitahu mereka untuk melakukan undi percaya di parlimen. Yang sepatutnya mereka lakukan.

"Ketika mereka minta Ordinan Darurat mengenai masalah kesihatan masyarakat, Agong menuruti mereka ketika baginda boleh menolaknya.

"Ketika Agong meminta ahli politik membentangkan ordinan di Parlimen dan menitahkan ia dibahaskan, para ahli politik menolak," tambahnya.

Zaid menegaskan Agong telah berusaha untuk mengikuti undang-undang dan dipaksa masuk campur akibat kedegilan ahli politik.

"Siapa lagi yang kita ada ketika pemimpin yang dipilih tidak lagi berkhidmat kepada kepentingan dan kesejahteraan negara?" soalnya.

Semalam, ketua menteri dan Pengerusi GPS Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata dia akan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan siapa yang layak menjadi perdana menteri.

Abang Johari berkata GPS telah menghantar satu nama tetapi enggan mendedahkannya sebelum Agong berbuat demikian.

Terdapat spekulasi mengatakan calon berkenaan ialah Timbalan Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Abang Johari juga berkata ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, yang merupakan pencabar bagi jawatan itu, tidak ada menghubunginya.

Sementara itu, NST memetik sumber mendakwa Abang Johari mengatakan anggota parlimennya akan menarik balik sokongan mereka terhadap Ismail sekiranya Agong memilih calon lain.

Lihat Komen
ADS