Musa Hassan: Mat Rempit cuba bawa budaya Hell's Angel
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Mat Rempit cuba memperkenalkan budaya penunggang motosikal Hell's Angel dari Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Mat Rempit cuba memperkenalkan budaya penunggang motosikal Hell's Angel dari Amerika Syarikat.
Katanya penunggang motosikal Hell's Angel ini turut terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah seperti ganja, syabu dan heroin serta "menjalinkan hubungan seks bebas, iaitu hubungan kelamin sebelum berkahwin."
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Gejala Sosial: Hakikat Masa Kini" pada Konvensyen Pendekatan Islam Hadhari Belia Peringkat Kebangsaan yang bertemakan "Belia Pemacu Generasi Hadhari" di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari Selasa.
Menurutnya amalan seumpama itu tidak bersesuaian dengan budaya timur yang mementingkan kesopanan dan kekeluargaan.
"Jika perkara itu menular seperti epidemik, maka gejala sosial itu akan meruntuhkan moral golongan Mat Rempit yang terdiri daripada golongan remaja dan akhirnya golongan berkenaan secara tidak langsung terjebak di dalam jenayah," katanya.
Menurut laporan Bernama, Musa juga berkata terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada peningkatan jenayah iaitu keadaan ekonomi yang tidak stabil yang menyumbang kepada peningkatan pengangguran serta keadaan inflasi yang mendorong mereka terdesak melakukan jenayah.
"Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar yang gagal mendapatkan pekerjaan mendorong mereka untuk terlibat dengan jenayah, serta perubahan budaya dan sosial sekarang banyak mempengaruhi keruntuhan moral dalam masyarakat yang akhirnya terlibat dalam jenayah," katanya.
Musa berkata perangkaan indeks jenayah di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga bulan lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 12.57 peratus iaitu 170,481 kes berbanding 151,444 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.
Daripada jumlah itu, 4,414 kes melibatkan golongan juvana dan 1,436 kes pelajar, katanya.
Beliau berkata antara jenayah tertinggi melibatkan juvana dan pelajar adalah jenayah kekerasan yang antaranya melibatkan kecurian motosikal, kereta, ragut, pecah rumah dan mencuri yang melibatkan seramai 2,660 juvana dan 908 pelajar dalam tempoh tersebut.
Musa berkata antara punca gejala sosial adalah masalah keluarga yang tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak, kemerosotan moral remaja, peningkatan pusat hiburan yang dijadikan tempat maksiat dan peningkatan kadar pengangguran yang mempengaruhi ketidakstabilan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata penerapan nilai keagamaan ke dalam masyarakat adalah penting bagi membendung gejala sosial ini serta membentuk individu yang bermoral.
"Ini dapat dilaksanakan di pelbagai peringkat dengan pelbagai cara seperti ceramah di sekolah, institusi pengajian tinggi, pejabat dan organisasi sama ada melalui seminar, kursus atau program," katanya.
Selain itu, katanya usaha menjalankan operasi di pusat hiburan, mempergiatkan kempen pencegahan jenayah serta program kemasyarakatan turut membantu ke arah usaha menggembleng moral yang baik.
Katanya, polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersama universiti-universiti sedang membuat kajian untuk mengenal pasti punca masalah sosial di negara ini supaya tindakan segera dapat diambil.

