Pak Lah: Tempoh tiga tahun terlalu singkat
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meraikan ulang tahun ketiga beliau sebagai Perdana Menteri berkata, tempoh tersebut terlalu singkat dan masih banyak lagi yang perlu laksanakan.
"Tiga tahun tak cukup lagi, nak buat kerja tidak cukup kerana banyak lagi yang nak buat. Rancangan Malaysia ke-9 baru dilaksanakan dan beberapa lagi dalam Rancangan Malaysia ke-8 masih perlu dibereskan,"
"Bukan kita tidak buat kerja, banyak kerja yang perlu dilakukan, dan saya percaya pada masa yang terdekat ini, kita akan dapat lihat banyak perubahan dan banyak projek yang perlu dilaksana akan memberi hasil kepada rakyat," katanya dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan kepadanya selama ini. Abdullah berada di China selama dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Memperingati Hubungan Asean-China.
Perdana Menteri juga yakin perbezaan pendapat antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan merenggangkan hubungan di kalangan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata ramai yang bimbang apa akan berlaku antara beliau dan Dr Mahathir, namun pada masa yang sama mereka juga mahukan saya memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang akan menghasilkan banyak pulangan menjelang pertengahan tahun depan.
Mengenai agenda mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis ini, Abdullah berkata beliau akan mendengar taklimat daripada setiausaha agung parti, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, sekembalinya dari China.
Menurutnya beliau terbuka kepada perbincangan membabitkan apa saya isu yang penting untuk Umno dan jawatankuasa pengurusan parti yang akan mencadangkan perkara yang akan ddibincangkan.
Ditanya sama ada Dr Mahathir akan dipecat, Abdullah berkata: "Saya tidak pasti sama ada ia merupakan antara tajuk perbincangan. Saya tidak mahu mengulas mengenainya".