Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NADMA jamin PPS mencukupi hadapi bencana
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi jaminan pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi jika banjir berlaku di seluruh negara walaupun ada lokasi yang telah digazetkan untuk tujuan tersebut dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Operasinya, Meor Ismail Meor Akim berkata ini berikutan hampir 90 peratus PPS akan menggunakan bangunan sekolah manakala PPV menggunakan fasiliti awam seperti dewan atau stadium.

"Jadi, kebarangkalian untuk timbul isu terlalu kecil termasuk jika perlu mengasingkan pesakit positif Covid-19 di pusat pemindahan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di Melaka hari ini.

Meor Ismail berkata melalui lawatan turun padang yang dijalankan, kebanyakan negeri sudah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama dengan kedatangan monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dijangka melanda November ini.

Beliau berkata satu mesyuarat di peringkat pusat akan diadakan pada minggu kedua September bagi membincangkan isu kesiapsiagaan dengan lebih terperinci.

“Lawatan kerja telah diadakan di Johor semalam, persiapan sudah dilakukan di negeri tersebut malah negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ini termasuk berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan pengasingan penduduk terjejas banjir yang positif Covid-19," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS