Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
396 guru di Johor tolak vaksin kerana ragu-ragu - TMJ
Diterbitkan:  Aug 27, 2021 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah hanya 396 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19 kerana ragu-ragu dengan vaksin berkenaan.

Tunku Ismail bertitah seramai 383 guru pula mengambil pendirian untuk menangguhkan pengambilan vaksin kerana mempunyai alahan, mengandung atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Saya telah mendengar ulasan para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi dan daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

"Bagaimanapun, kini sebilangan guru telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap 20 wakil guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu manakala Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad menyertai pertemuan itu secara maya.

Tunku Ismail menzahirkan harapan agar guru-guru terlibat sedar akan tanggungjawab untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.

"Saya berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Ahad lepas, Tunku Ismail menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19 menghadap baginda dalam masa terdekat.

Titah itu susulan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Ogos lepas bahawa terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS