Tiada sebarang tindakan terhadap Dr M
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengkritik kerajaan.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengkritik kerajaan.
Mesyuarat hari ini juga memutuskan bekas Perdana Menteri itu kekal sebagai penasihat kepada syarikat dan agensi kerajaan Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, mesyuarat MT hari ini telah membincangkan perkara tersebut dan memutuskan Dr Mahathir tidak diberhentikan daripada jawatan yang disandangkan sekarang.
Ditanya sama ada bekas Presiden Umno itu 'kebal' daripada sebarang tindakan disiplin, Abdullah berkata, tiada siapapun yang 'kebal', sambil menambah ianya terpulang kepada pihak parti untuk menentukan sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak.
Buat masa ini, tegas Perdana Menteri, pihak parti tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Dr Mahathir.
Ditanya bagaimana Umno akan menangani kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap kerajaan, Abdullah berkata, pihaknya akan menjawab kritikan bekas Perdana Menteri itu.
Tegasnya lagi, jawapan tersebut akan dibuat secara terbuka supaya apa juga kritikan beliau (Dr Mahathir) juga akan dijawab secara terbuka, agar rakyat dapat memahaminya.
Reaksi rakyat
Ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap jawapan yang diberikan oleh Umno, Perdana Menteri berkata, belum ada sebarang kajian dijalankan mengenai reaksi awam, tetapi berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, mereka akan menerimanya.
Ditanya mengenai laporan malaysiakini bahawa Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) sedang mengaturkan perjumpaan kedua beliau dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata, beliau tidak mendengar apa-apa mengenai Mubarak.
Ditanya sama ada beliau bersedia mengadakan pertemuan kedua dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Itu soalan spekulatif...tidak ada jawapan dari saya..."
Mengenai laporan polis yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) terhadapnya dan Dr Mahathir kerana didakwa menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan ahli keluarga mereka, Abdullah berkata, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan anak lelakinya.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk mengisytiharkan harta dan aset keluarganya berhubung dakwaan tersebut, Perdana Menteri berkata, itu adalah hak keluarganya terhadap privasi harta mereka.
Oleh itu, katanya, tidak perlu baginya untuk membuat pengisytiharan tersebut dan mereka tidak melanggar apa-apa yang memerlukan mereka mengisytiharkan aset masing-masing.
Ditanya sama ada had bagi Dr Mahathir membuat kritikan, Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri sepatutnya tahu apa batasannya.
Oleh itu, katanya, tidak perlu ditanya apakah yang hendak dilakukannya atau setakat manakah hadnya.
Ahli mesti patuh
"Kita sentiasa mendengar dan sentiasa menerima laporan mengenai aktiviti beliau daripada para ahli," tambah Abdullah.
Ditanya sama ada Umno tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu, Abdullah berkata, ia bukan persoalannya.
"Tetapi persoalannya ialah kita tidak fikir kita akan mengambil tindakan terhadapnya," kata beliau sambil menambah, biarlah Dr Mahathir kata apa sahaja yang hendak dikatakannya.
"Ya, biar dia cakap sampai habis. Bila parti ambil tindakan, ahli parti mesti patuh," katanya.
Mengenai isu yang membabitkan Datuk Zakaria Md Deros pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu dinasihatkan supaya tidak menghadiri majlis angkat sumpah ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Gugur Zakaria
Menurut Perdana Menteri, MT telah memutuskan bahawa adalah perlu bagi Zakaria menarik daripada senarai ahli MPK yang akan mengangkat sumpah pada 8 November.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai kedudukan Zakaria sebagai Ketua Umno Bahagian Klang.
Sebaliknya, Abdullah berkata, sebagai pemimpin Umno Klang, Zakaria perlu memberi kepimpinan yang baik di bahagiannya.
Mengenai kedudukan ahli majlis tempatan, Perdana Menteri berkata, tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya.
Menurutnya, keputusan mengenainya akan hanya dibuat selepas kajian mendalam dijalankan oleh semua kerajaan negeri.
Selepas itu, katanya, (kerajaan) akan menentukan berapa ramai ahli majlis yang terdiri daripada wakil rakyat yang akan dilantik dalam kerajaan tempatan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.