Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi arah k’jaan turunkan usia mengundi mulai 31 Dis

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memerintahkan kerajaan Malaysia menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun di seluruh negara menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya kehakiman Alexander Liew membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang dinamakan kumpulan Undi Sarawak untuk menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan penurunan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Keputusan tindakan undang-undang oleh lima anak muda dari NGO Undi Sarawak ditetapkan hari ini.

Tarikh tersebut pada awalnya ditetapkan pada 30 Ogos.

Tiga responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman itu adalah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan.

Melalui tindakan undang-undang yang difailkan pada 3 Mei, lima anak muda itu menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan pindaan perlembagaan 2019 untuk menurunkan usia mengundi di seluruh negara menjelang Julai tahun ini.

Sebelum ini, Undi Sarawak berpendapat bahawa penangguhan pelaksanaan had usia mengundi (Undi 18) akan menafikan hak lebih daripada 125,000 anak muda di Sarawak untuk mengundi dalam pilihan raya negeri.

Pada 25 Mac, SPR mengumumkan penangguhan pelaksanaan Undi18, termasuk pendaftaran pemilih automatik, hingga 1 September tahun depan.

Ini bermakna anak muda berusia 18 hingga 20 tahun berkemungkinan tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya akan datang.

Susulan daripada itu remaja berumur antara 18 hingga 20 tahun itu menyaman kerajaan kerana menangguhkan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kumpulan pro-Undi18 Persatuan Pengundi Muda berkata mereka memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri, kerajaan Malaysia dan SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 April lalu.

Setakat ini, terdapat dua cabaran tindakan undang-undang yang serupa (di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di Mahkamah Tinggi Kuching) untuk menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi.

Pindaan terhadap artikel 119 Perlembagaan Persekutuan diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Peguam Simon Siah dan Clarice Chan mewakili lima anak muda tersebut, manakala peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili ketiga-tiga responden dalam kes tersebut.

Ketika prosiding dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuching petang ini, Liew berkata kerajaan persekutuan telah memberi jaminan pada awal tahun ini bahawa usia mengundi akan dilaksanakan menjelang Julai tahun ini.

Pesuruhjaya kehakiman menyatakan bahawa jaminan itu dibuat walaupun terdapat pengakuan yang bercanggah oleh pasukan responden dalam proses kehakiman, di mana pelaksanaannya hanya dapat dilakukan pada tahun depan.

Liew merujuk kepada pelbagai kenyataan media oleh SPR yang dikeluarkan tahun lalu dan kenyataan menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang) pada Mei lalu, Takiyuddin Hassan, mengenai penurunan usia mengundi boleh dilakukan pada bulan Julai tahun ini .

Pada 2 Mei, Bernama melaporkan Takiyuddin memberi jaminan undi 18 dijangka dilaksanakan tahun ini.

Namun dalam pendengaran semakan kehakiman sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuching, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan, berpendapat bahawa pelaksanaan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi memerlukan pindaan terhadap undang-undang terlebih dahulu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS