Sesetengah tempat menunjukkan kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 100 peratus kerana menggunakan statistik daripada bancian penduduk yang lama, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Disebabkan itu katanya, pihak berkuasa kesihatan menganggap sasaran vaksin Covid-19 adalah di bawah anggaran.

"Kami menganggap sasaran ini di bawah anggaran kerana Jabatan Statistik tidak dapat melakukan bancian tahun lalu. 

"Apa yang kita lihat di Kuala Lumpur dan Lembah Klang hari ini - di mana jumlah mereka yang divaksin melebihi 100 peratus daripada populasi - adalah kerana, pertama,  warga asing yang tidak memiliki dokumen, dan statitistik di bawah anggaran kerana bancian lama, "katanya kepada media semasa sesi wawancara pada Jumaat lalu.

Khairy menjawab pertanyaan mengapa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung menyaksikan kadar vaksinasi di beberapa kawasan melebihi 100 peratus.

Malaysia memulakan vaksinasi secara besar-besaran pada Februari, yang bertujuan mencapai kadar imunisasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negara ini. Penduduk Malaysia dianggarkan 32.7 juta pada tahun ini.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan, pada 3 September, Labuan mencatatkan 102.3 peratus populasi orang dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, manakala Lembah Klang mencatat 112.2 peratus.

Khairy berkata faktor lain adalah seperti penghijrahan penduduk di sesuatu kawasan.

"Orang berpindah ke Lembah Klang sebelum ini tidak ditunjukkan dalam statistik.

"Ada juga beberapa daerah di Lembah Klang, di mana statistik menunjukkan hanya 80 peratus penduduk yang telah divaksinasi sehingga kini. Namun, semakan mendapati tidak ada lagi individu yang tidak divaksinasi di sana.

"Di daerah lain, kita lihat kadar vaksinasi naik hingga 120 peratus tetapi kita masih lakukan vaksinasi. Jadi kita hanya boleh menganggap ia kerana warga asing," tambahnya.

Katanya, disebabkan ketiadaan angka sebenar, Kementerian Kesihatan perlu bergantung kepada statistik rasmi.

Namun, dia menegaskan ia bukan bermaksud KKM tidak akan melakukan vaksinasi jika ia tidak menyamai angka rasmi.

"Saya perlu jadikan angka sebagai sasaran. Saya tak boleh keluarkan angka dan katakan bahawa penduduk sebenarnya 35 juta dan bukan 32 juta.

"Tetapi kita yakin bahawa kita mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk menampung penduduk yang di bawah anggaran," tambahnya.