Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Bukan lagi tanggungjawab k'jaan sepenuhnya jaga SOP

Kerajaan terutama agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri tidak harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih-lebih lagi apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata semua pihak harus bersama memainkan peranan dengan menjadikan amalan mematuhi SOP sebagai perkara biasa, apatah lagi apabila wabak Covid-19 diumumkan sebagai endemik nanti.

"Saya mewakili KDN yang bertanggungjawab terhadap pematuhan SOP, kerja kami bukan hanya jaga SOP tapi kami nak juga lihat dari segi kehidupan agar ia benar-benar seimbang. Kalau kami hanya kerja nak sekat orang, kesalahan tak ikut SOP, itu sesuatu yang amat kecil.

"Biarlah kita mempunyai strategi yang lain menjaga sempadan, jaga tempat pintu masuk, jaga mereka yang cuba ceroboh bawa dadah dan sebagainya, begitu juga mereka yang cuba Yan hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat mengenai bencana banjir dan fenomena kepala air Gunung Jerai yang disampaikan Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah serta meninjau kawasan yang terjejas di Titi Hayun di Yan.

Hamzah berkata kerajaan juga tidak harus dipersalahkan sekiranya ada pihak tidak memainkan peranan dalam menjaga SOP termasuk majikan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab itu ke atas pekerja mereka.

"Saya bagi contoh, kalau kilang dibenarkan beroperasi, siapa yang sepatutnya menjaga SOP, pihak pengurusan, tetapi hari ini mengapa pulak kita salahkan kerajaan kerana tak menjaga SOP.

"Sepatutnya majikan yang mula jaga, kalau majikan jaga dan ada sesuatu yang kurang senang (dengan pelaksanaan SOP oleh majikan), laporkan kepada kerajaan dan kami akan hantar pasukan," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata setakat ini tiada isu mengenai pegawai dan kakitangan KDN serta agensi di bawahnya yang kebanyakan adalah petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan Covid-19, yang enggan menerima suntikan vaksin.

"Sebagai petugas barisan hadapan, kami sudah pastikan lebih 91 peratus warga Polis Diraja Malaysia mendapat vaksin, malah kakitangan Jabatan Penjara Malaysia sudah hampir 100 peratus divaksin setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Pendaftaran Negara akan menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membantu proses penggantian atau pengeluaran semula dokumen pengenalan diri mangsa banjir yang hilang atau rosak dalam kejadian banjir di sini pada 18 Ogos lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS