Sekretariat Undi 18 BN mohon SPR buat persiapan
Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN) berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat persediaan untuk pengundi muda ke arah pelaksanaan Undi 18 sebelum 31 Dis ini.
Ketua sekretariat itu Datuk C Sivarraajh mencadangkan SPR menganjurkan kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian melibatkan kerjasama rentas parti, di samping menggerakkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pengundi muda untuk bersiap sedia.
“Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN berharap semua pihak yang terlibat, terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi ini masa hadapan masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang ) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan SPR supaya bersiap sedia melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Dis 2021 seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 Sept lepas.
- Bernama

