Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan serangan seksual: Anwar diarah fail pembelaan selewat-lewatnya 28 Sept

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Presiden PKR Anwar Ibrahim memfailkan penyataan pembelaan dalam saman yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik itu tiga tahun lepas.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, ketika dihubungi berkata mahkamah telah mengarahkan Anwar agar memfailkan penyataan pembelaannya selewat-lewatnya 28 Sept ini.

“Mahkamah turut menetapkan 29 Okt depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya," katanya selepas prosiding pengurusan kes melalui e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

Peguam Ranjit Singh, yang mewakili Anwar, ketika mengesahkan perkara itu berkata mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak agar memfailkan sebarang permohonan interlokutari sebelum 29 Okt.

Pada 14 Julai lepas, Muhammed Yusoff, 28, memfailkan saman mendakwa serangan seksual telah berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar, 73, di Segambut.

Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala dia menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, dia dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, dia menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS