mk-logo
Berita
'20 tahun akan datang Sabah, Sarawak pusat ekonomi'

Dalam 20 tahun yang akan datang, bekas wakil rakyat Umno, Mohamed Tawfik Ismail meramalkan politik di negara ini akan berpusat di Malaysia Timur, bukan lagi di Semenanjung Malaysia.

Menurut anak bekas timbalan perdana menteri kedua Dr Ismail Abdul Rahman itu, dengan ibu negara Indonesia akan dibangunkan di Borneo - berpindah dari Jakarta ke Kalimantan - Sarawak berpotensi menjadi kuasa ekonomi baru di negara ini.

“Saya rasa dalam masa 20 tahun, mari lihat merentasi Laut China Selatan ke Malaysia Timur. Saya rasa dalam masa 20 tahun, politik negara ini akan berpindah ke pusat Laut China Selatan.

“Sarawak mungkin menjadi kawasan yang maju dengan ibu negara Indonesia dibangunkan di sana, dan saya rasa akan mereka akan menjadi satu kuasa ekonomi baru.

“Dan saya rasa orang-orang Semenanjung akan mula mencari jalan untuk merentasi Laut China Selatan untuk bekerja,” katanya.

Dia berkata demikian dalam webinar bertajuk “Kebangkitan Semula Umno: Apa Seterusnya untuk Malaysia?” anjuran Malaysiana LCMS Sdn Bhd, bersempena pelancaran buku “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope” karangan bekas duta Dennis Ignatius (gambar, bawah) semalam.

Tawfik menjawab soalan moderator Jonson Chong tentang bagaimana Malaysia yang dibayangkannya selepas 20 tahun yang akan datang, terutama dalam soal politik dan demokrasi, serta hubungan antara kaum.

Sebelum itu, Tawfik menyampaikan ucapan pelancaran buku Dennis, sebelum webinar bermula bersama panelis Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, Prof James Chin dan Tommy Thomas, dan turut disertai Tawfik dan Dennis.

Webinar itu antara lain menyentuh soal kebangkitan semula Umno setelah kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018, amalan berpolitik berasaskan kaum dan agama, amalan demokrasi serta perjalanan pilihan raya, selain turut menyentuh gaya kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Bukan sahaja diramal menjadi pusat politik, bekas ahli parlimen Sungai Benut (kini parlimen Simpang Renggam) itu memandang Sabah dan Sarawak sebagai teladan kepada penduduk semenanjung dalam soal integrasi antara kaum.

“Saya rasa pada masa kini, prioriti utama kita ialah integrasi nasional. Saya rasa kita patut hulurkan tangan kita dari semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak untuk menyerap (incorporate) sebahagian gaya hidup dan sikap (bermasyarakat yang diamalkan) di sana,” katanya.

Tawfik juga mengulas dakwaan kebimbangan kaum bukan Melayu yang merasa terancam dengan gerakan pelampau agama.

Katanya, dia tidak nampak terdapat ancaman besar ke arah itu sehingga membuatkan orang bukan Islam hidup ketakutan di negara ini.

Jelas Tawfik, dalam soal agama, Malaysia mempunyai sembilan Raja-Raja Melayu dan 13 mufti di negeri-negeri - setiap satunya mempunyai cara pentadbiran agama yang tersendiri.

Lebih-lebih lagi, katanya, Perlembagaan Persekutuan menawarkan perlindungan kepada golongan minoriti buat mereka yang benar-benar memahaminya.

“Kerana perlembagaan, seperti kata Prof Shad Saleem Faruqi (pakar perlembagaan), adalah ‘dokumen takdir’ kita," katanya.

Menurutnya lagi, semakin tinggi kefahaman mengenai perlindungan yang ditawarkan perlembagaan, maka tidak ada pihak yang dapat membuli rakyat dengan melakukan melakukan sesuatu yang tidak berperlembagaan.

“Orang Melayu pun bukannya pernah bersatu, jadi saya rasa kaum lain tak perlu risaulah tentang satu kaum Melayu yang bersatu yang akan menelan dan memusnahkan apa sahaja budaya yang mereka ada.

“Orang Melayu ni bangsa yang sangat (bersifat) penyerap. Kalau bertemu siapa-siapa (kaum luar), sama ada mereka kahwini atau sesuaikan (adapt) budaya orang tersebut ke dalam budaya mereka, dan cuba jadikan orang itu orang Melayu,” katanya berseloroh. 

Lihat Komen
ADS