Sukma dibebaskan daripada tuduhan liwat
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Sukma Darmawan Sasmitaat daripada tuduhan liwat.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Sukma Darmawan Sasmitaat daripada tuduhan liwat.
Beliau dituduh membenarkan abang angkatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meliwatnya pada bulan April 1998.
Sukma, 45, dibicarakan semula atas tuduhan membenarkan Anwar meliwatnya di kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri itu di No 47, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
Pada bulan September 1998, Sukma mengakui telah membenarkan Anwar meliwatnya dan mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut. Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara sebelum dibebaskan atas ikatjamin.
Tetapi, pada 14 Jun tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan pengakuan bersalah Sukma tidak kukuh kerana terdapat fakta-fakta lain yang tidak dibangkitkan yang boleh membuktikannya tidak bersalah.
Mahkamah kemudian mengarahkan Sukma dibicarakan semula. Pagi ini, pihak pendakwa berkata tuduhan terhadap Sukma ditarik balik atas sebab-sebab kemanusiaan serta mengambilkira kes tersebut yang sudah berlanjutan selama lapan tahun.
Bantahan
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya, Mohd Hanafiah Zakaria menegaskan, Sukma ketika perbicaraan sebelum ini telah memberitahu mahkamah yang dia mengaku bersalah supaya hukuman penjara ke atasnya dikurangkan.
Mengikut Seksyen 377(d) Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum penjara maksima 20 tahun, didenda dan/atau dirotan.
Peguambela Gorbind Singh Deo (foto) membantah kenyataan timbalan pendakwaraya itu yang dianggapnya sebagai cubaan untuk memburukkan nama Sukma.
Seorang lagi peguambela Sukma, Sankara Nair turut membantah sambil menegaskan kes tersebut ditutup tanpa perlu dibuat sebarang kenyataan lagi mengenainya.
"Jika tuduhan ditarik balik, tidak perlulah bagi timbalan pendakwaraya membuat kenyataan seumpama itu di mahkamah," katanya.
Gorbind meminta pihak mahkamah mengarahkan pihak pendakwa menarik balik kenyataan tersebut, tetapi haki Nursinah Adzmi tidak memberi sebarang respons.
Kini lega
Beliau mencatatkan penarikan balik tuduhan itu di bawah Seksyen 254 (1) Kanun Prosedur Jenayah, atas alasan tiada bukti-buti baru ditemui, dan membebaskan Sukma mengikut Seksyen 254(3).
Ketika ditemui di luar mahkamah Sukma, 45, melahirkan rasa leganya kerana kes tersebut sudah berakhir.
"Saya tidak 100 peratus gembira ekoran kenyataan (oleh pihak pendakwa itu), tetapi saya bersyukur kepada tuhan kerana kini sudah bebas," katanya kepada pemberita.
Gobind berkata, Sukma tidak boleh didakwa semula atas tuduhan yang sama.
"Kami gembira kerana tuduhan tersebut telah ditarik balik, tetapi kami kesal dengan tindakan timbalan pendakwaraya dan Pejabat Peguam Negara, kerana membawa kenyataan itu di mahkamah," katanya.
Pihak peguambela kini sedang menimbang sama ada untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan, selepas membincangkan perkara itu dengan Sukma.
AG mesti pohon maaf
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah membebaskan Sukma hari ini.
Katanya, selama lapan tahun berdepan dengan tuduhan palsu dan ditindas, maka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memutuskan untuk menarik balik dakwaan terhadap Sukma dan dirinya.
Abdul Gani yang didakwa Anwar terbabit dalam konspirasi pada 1998 perlu memohon maaf terhadap apa yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara dan dirinya sendiri.
Namun begitu, katanya, Abdul Gani masih terus bersembunyi di sebalik teknikaliti dan menghina proses perundangan.
"Sekali lagi saya berdoa dan berharap penidasan itu tidak akan berulang di negara kita dan perubahan dilaksanakan untuk memulihkan kredibiliti kerajaan," katanya.

