Ahli Umno tak benarkan Dr M 'kacau' persidangan
Umno Kubang Pasu menolak bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno kerana tidak mahu beliau merosakkan perhimpunan berkenaan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Umno Kubang Pasu menolak bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno kerana tidak mahu beliau merosakkan perhimpunan berkenaan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
"Kubang Pasu tolak Dr Mahathir kerana mereka tahu jika dia dipilih, dia boleh merosakkan mesyuarat agung, dan perwakilan tidak mahu 'kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga'," ujarnya.
Muhammad berkata, atas alasan itu perwakilan Umno Kubang Pasu menolak pencalonan Dr Mahathir sungguhpun beliau adalah tokoh paling besar pernah datang dari bahagian itu.
Katanya lagi, walaupun ramai ahli Umno masih hormat pada Dr Mahathir tetapi mereka tidak akan benarkan bekas presiden lebih 20 tahun itu merosakkan perjalanan perhimpunan agung parti minggu depan, sekiranya beliau bercadang menghadirinya.
Dalam wawancaranya dengan mSTAR Online, Ketua Penerangan Umno itu menambah, sudah menjadi budaya ahli Umno tidak akan berdiam diri jika ada sesiapa ingin menimbulkan kekecohan ketika mesyuarat agung.
"Orang Umno ni, mereka mungkin nampak terhegeh-hegeh sahaja, tapi cubalah sesiapa nak buat kacau, bekas presiden ke tidak bekas presiden ke, mereka akan nyahkan daripada dewan," katanya, mengulas kemungkinan kehadiran Dr Mahathir menimbulkan suasana tegang di dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari perasmian perhimpunan agung Umno nanti.
Tiada masalah
Muhammad juga tidak menjangka timbul sebarang masalah jika Dr Mahathir bercadang mengikuti perhimpunan itu di luar dewan bersama ribuan pemerhati yang lain.
Pemimpin Umno, katanya, tidak langsung gusar tentang kemungkinan itu kerana ia tidak akan memberikan sebarang kesan pada kekukuhan dan kestabilan parti serta sokongan padu ahli kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Jika Dr Mahathir duduk di luar dewan, beribu-ribu ahli dan perwakilan Umno akan salam dan cium tangan dia. Itu memanglah sepatutnya kerana dia bekas presiden lebih 20 tahun, tetapi sebaik mereka masuk semula ke dalam dewan, mereka akan kembali kepada 'Umno mode' .
"Begitulah orang Umno, mereka akan sentiasa utamakan parti, kerana itu kita kekal parti terkuat di negara ini lebih 60 tahun.
"Dan kerana sifat mereka begitu jugalah maka walaupun berbulan-bulan Dr Mahathir menyerang kerajaan dan Pak Lah, orang Umno tetap kukuh sokongan mereka sehinggakan semua 191 bahagian membuat usul menyatakan sokongan mereka pada Perdana Menteri. Orang Umno adalah kekuatan dalaman setiap pemimpinnya," katanya.
Muhammad mengakui bahawa ada antara isu yang dibangkitkan Dr Mahathir adalah tepat seperti kebimbangannya tentang ekonomi, tetapi usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah itu.
Orang Umno, katanya, faham bahawa Perdana Menteri perlukan masa untuk menjalankan kerjanya dan mereka sentiasa bersabar.

