Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara menyediakan beberapa prosedur operasi standard (SOP) khas bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara SOP yang perlu dipatuhi semua individu yang memasuki bangunan Parlimen ialah sudah menerima vaksinasi lengkap dan melebihi 14 hari dari tarikh dos terakhir.

Katanya mereka juga mesti menjalani ujian saringan Covid-19 secara tindak balas perantai polimerase (RT-PCR) dalam masa tiga hari sebelum memasuki bangunan itu untuk kali pertama.

“Selain itu, sepanjang tempoh persidangan Parlimen berlangsung, semua yang hadir perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan Covid-19 seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Noor Hisham berkata KKM turut menasihatkan semua individu mematuhi SOP dan peraturan sedia ada bagi memastikan mesyuarat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah.

Sementara itu Noor Hisham berkata 26 daripada 1,801 individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19 di Parlimen pada 10 dan 11 Sept lalu dikenal pasti positif.

Katanya kes yang dilaporkan itu merupakan hasil ujian RT-PCR yang melibatkan seorang senator dan 25 kakitangan parlimen.

Menurut Noor Hisham selain itu, terdapat juga dua ahli parlimen dikenal pasti positif hasil saringan di luar bangunan itu dalam tempoh sama.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan Covid-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei hingga 1 Sept, manakala 13 individu pula baru sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 Sept.

“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dengan nilai kitaran ambang RT-PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT di antara 21.95 sehingga 38.23,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata ujian PCR “genotyping assay” yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah Beta.

Katanya, bagi mengesahkan varian itu, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mula menjalankan penjujukan seluruh genom Covid-19.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata antara langkah yang diambil bagi mengekang penularan virus itu di Parlimen ialah individu yang kali pertama disahkan positif terbabit (13 kes) tidak dibenarkan hadir.

“Mereka diasingkan dan diberi perintah pengawasan dan pemerhatian di Rumah (HSO). Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenal pasti kontak rapat,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa individu yang pernah disahkan Covid-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat yang masih mempunyai gejala ringan.

"Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian KKM,” katanya.

- Bernama