Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perjanjian PH-k'jaan bukan CSA tapi MOU, kata Anwar
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 8:48 PM
Dikemaskini: Mar 19, 2022 12:42 PM

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) menegaskan bahawa perjanjian mereka yang baru ditandatangani dengan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah memorandum persefahaman (MOU) dan bukan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA).

Dia juga berkata Pakatan Harapan menolak tawaran serupa untuk bekerjasama dengan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin (Bersatu – Pagoh) adalah kerana yang presiden Bersatu itu mahukan CSA.

"Ini ada isu fundamental yang berbeza. Yang dikemukakan yang ditawarkan Pagoh adalah bentuk CSA yang menuntut kami menyokong dan mengabsahkan kerajaan.

"Persefahaman ini (dengan kerajaan Ismail Sabri) menekankan peranan kita sebagai pembangkang dan kita boleh menolak jika tidak ada rundingan," kata Anwar dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia mengatakan di bawah demokrasi berparlimen Westminster, CSA tidak hanya akan mengabsahkan kerajaan tetapi juga memerlukan jaminan kepercayaan untuk kerajaan serta sokongan terhadap belanjawan.

"Itu tidak berlaku dengan kerjasama ini," kata Anwar.

Tambahnya, tidak ada syarat dalam MOU di mana PH mesti menyokong Ismail Sabri sekiranya berlaku undi percaya.

Anwar berkata, PH tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk undi percaya.

Namun, dia mengatakan mereka tidak ingin isu keabhsahan membayangi usaha menentang pandemik Covid-19, yang harus diutamakan.

"Jadi, walaupun kami tidak setuju untuk tidak meneruskan undi percaya, kami tetap bekerjasama untuk membincangkan memorandum itu," tambahnya.

Dalam dokumen MOU antara PH dan kerajaan pimpinan Ismail, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu, dan juga berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Sebagai balasannya, PH berjanji tidak akan menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail Sabri atau menyekat Belanjawan 2022 selagi pembaharuan yang dijanjikan mengikut jadual dan mereka akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan.

Pada masa sama, PH mengatakan mereka akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

Lihat Komen
ADS