story image
mk-logo
Berita
KJ: Lengkap vaksinasi bukan alasan untuk leka
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 1:30 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengingatkan penduduk Lembah Klang untuk tidak leka ketika kedai dan taman dibuka dan menerima kunjungan orang ramai.

Ini terjadi setelah Lembah Klang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hari Jumaat minggu lalu.

Menteri itu mengambil maklum ramai penduduk Lembah Klang memanfaatkan hujung minggu untuk membawa keluarga mereka ke pusat beli-belah dan taman rekreasi, termasuk anak-anak kecil.

"Saya faham ramai yang teruja dengan kelonggaran ini terutamanya setelah hampir tiga bulan berada di dalam Fasa 1 PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sebelum itu.

"Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.

"Penting untuk saya ingatkan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

"Tindakan-tindakan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus Covid-19," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya, dia berharap agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian kita.

"Ingatlah, kejayaan membendung pandemik ini melibatkan penglibatan dan pendekatan menyeluruh kerajaan serta masyarakat," katanya.

Khairy turut menyorot bahawa kes Covid-19 di Lembah Klang kini sedang menurun, yang menurutnya menunjukkan tanda kejayaan PPN.

Namun, dia menyatakan kebimbangan rancangan kerajaan untuk menangani Covid-19 sebagai endemik pada bulan Oktober terjejas jika kepatuhan SOP rendah.

"Namun untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.

"Jika perkara ini gagal untuk diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh kerajaan, katanya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS