Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siasatan SPRM terhadap Rina dapati tiada elemen rasuah - PM
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Rina Harun mendapati tiada sebarang elemen rasuah membabitkan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Ismail berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen Segambut Hannah Yeoh di Dewan Rakyat hari ini.

"Untuk makluman yang berhormat, siasatan berkenaan dengan kes yang dinyatakan oleh yang berhormat telah selesai.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang elemen rasuah yang dapat dibuktikan," katanya.

Rina menjadi perhatian selepas melunaskan hutang kepada sebuah syarikat filem di Paris sebanyak kira-kira RM1.3 juta untuk mengelakkan dirinya diisytihar muflis.

Seorang peguam yang mewakili Sarl Novovision, sebuah syarikat produksi filem dan televisyen di Paris, berkata menteri itu melunaskan hutangnya pada Februari lalu.

Rina diberi notis kebankrapan kerana berhutang dengan Sarl Novovision berjumlah RM1,340,642.02 pada 17 Nov 2020.

Firma Perancis itu mengemukakan saman terhadap Rina pada 8 Nov 2018 bagi menuntut bayaran penuh dibuat pada 31 Julai 2019.

Rina, yang merupakan salah seorang pengarah syarikat yang kini tidak berfungsi Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd, telah membeli beberapa rancangan komedi dan dokumentari dari syarikat Perancis berkenaan.

Pada bulan Mei 2014, Rina dan seorang lagi pengarah syarikat, Ida Rahayu Md Noor, menandatangani perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision bahawa mereka secara peribadi dan bersama-sama akan menanggung semua liabiliti syarikat.

Bagaimanapun, syarikat itu ditutup antara Disember 2013 dan Ogos 2015.

Adun Canning dari DAP, Jenny Choy secara terbuka membangkitkan bagaimana dia berjaya mengumpulkan bayaran hutang dalam tempoh singkat 15 bulan kerana data pengisytiharan aset menunjukkan aset Rina berjumlah RM72,000 ketika ia diisytiharkan pada November 2019.

Choy sebelum ini mengemukakan laporan kepada SPRM bagi menggesa agensi itu untuk menyiasat menteri berkenaan.

Lihat Komen
ADS