Polis menahan seorang ketua badan pemikir politik bagi membantu siasatan terhadap kes pembunuhan seorang wanita Mongolia yang ditembak dan diletupkan dengan bom tangan bulan lalu.

Lelaki berkenaan yang juga penganalisa politik tempatan yang terkemuka ditahan pagi ini berikutan terjumpanya cebisan mayat seorang wanita warganegara Mongolia yang dilaporkan hilang oleh rakannya bulan lalu.

Mayat wanita berkenaan yang dikenali sebagai Anna Ana Ang dijumpai berselerak di dalam semak berdekatan satu empangan di Puncak Alam, berdekatan Shah Alam semalam pada kira-kira jam 7pm semalam.

Polis percaya wanita berkenaan di bunuh dan mayatnya kemudian diletupkan menggunakan bom tangan.

Sementara itu Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan tiga pegawai dan anggotanya ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan masih dijalankan dan tidak mahu sebarang spekulasi dibuat sehingga menjejaskan siasatan polis.

"Kita mungkin akan menahan beberapa orang lagi bagi membantu siasatan, tapi jangan buat spekulasi dan saya tidak mahu dedahkan berapa ramai lagi yang akan ditahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengisahan Sejarah dan Pameran Pasukan Home Guard yang banyak terlibat sewaktu darurat, di Kuala Lumpur hari ini.

Anna, berusia dalam lingkungan 30an, dikatakan menjalin hubungan seks dengan rakyat Malaysia itu ketika lelaki terbabit melawat Mongolia tahun lepas.

Hubungan itu membawa kepada kelahiran seorang bayi di Mongolia tahun ini.

Difahamkan bahawa Anna dan dua rakan wanitanya dari negara itu datang ke Malaysia awal bulan lepas untuk berjumpa dengan lelaki berkenaan, yang sudahpun berkahwin dan mempunyai anak.

Mereka mengunjungi rumah lelaki terbabit di Damansara Heights pada 9 Okt untuk membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun, segala-galanya tidak berjalan lancar dan lelaki itu menghubungi tiga polis untuk 'mengiringi' Anna pergi dari situ.

Rakan-rakannya kemudian diberitahu supaya beredar sementara perkara itu "diselesaikan".

Bagaimanapun, apabila Anna tidak kembali ke hotel mereka selepas beberapa hari, rakan-rakannya menjadi bimbang.

Mereka melaporkan perkara itu kepada Konsulat Mongolia di Thailand.

Mereka turut membuat laporan di balai polis Brickfields.

Berikutan laporan itu, Konsulat Mongolia di Thailand menghubungi polis Malaysia bagi mendapatkan bantuan mencari rakyatnya yang hilang.

Dibantu oleh butiran yang diberikan oleh rakan-rakan Anna, polis menahan seorang Cif Inspektor dan seorang Lans Koporal bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan reman selama seminggu pada minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Ismail Omar mengesahkan penemuan mayat itu semalam.