Pejuang bahasa: Pertukaran pengajaran ke BI tidak sah
Pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan negara bermula 2003 dibuat secara "tidak sah", kata pejuang-pejuang bahasa Melayu hari ini.
Pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan negara bermula 2003 dibuat secara "tidak sah", kata pejuang-pejuang bahasa Melayu hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad (foto bawah) berkata, langkah itu dibuat tanpa melalui proses perundangan.
Oleh itu beliau mendesak kerajaan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains ke dalam bahasa Melayu.
Dr Hassan berkata demikian dalam kertas kerjanya pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 di Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. Kongres anjuran DBP dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) selama tiga hari itu bermula malam tadi.
"Setahu saya hanya negara yang tidak maju yang memaksa atau terpaksa mengamalkan dasar kolonial iaitu mengajar sains dalam bahasa asing.
"Ini kerana di negara itu, budaya dan bahasa peribuminya telah dimusnahkan oleh bekas penjajah barat," kata Dr Hassan, yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.
Beliau menambah, negara maju seperti Jepun, Perancis dan Korea Selatan juga mengajar bahasa Inggeris di sekolah mereka, tetapi mereka tidak pula menyeru rakyat mereka supaya menggunakan bahasa asing sebagai alat kemajuan bangsa dan negara mereka.
Menurut laporan Bernama, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pula berkata tidak salah sekiranya dasar yang tidak sah daripada segi perundangan itu ditarik balik.
Katanya tidak semua guru terutama yang mengajar di kawasan pedalaman mahir berbahasa Inggeris dan menguasai istilah sains dalam bahasa itu.
"Ia merupakan satu pendustaan dan kajian yang tidak telus apabila dikatakan keputusan pelajar Melayu yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris meningkat, sedangkan semasa diajar dalam bahasa Melayu pun, pencapaian kedua-dua mata pelajaran tersebut merosot," katanya.
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Prof Dr Awang Sariyan (foto kanan) pula dalam kertas kerjanya berkata dasar berkenaan perlu disemak semula agar Bahasa Melayu tidak terhapus sebagai bahasa ilmu.
Pengerusi Kongres Kepentingan Bahasa Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapan perasmian kongres itu malam tadi, turut meminta kerajaan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Badan Perhubungan Umno Johor pada konvensyennya yang berakhir semalam turut membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan dasar itu menyebabkan Melayu kehilangan jati diri.

