Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH gesa KP SPRM 'direhatkan' sementara siasatan terhadap pegawai kanan
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 2:53 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Majlis Presiden PH mencadangkan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki direhatkan sementara waktu sementara siasatan terhadap tiga pegawai kanannya dijalankan.

Cadangan itu susulan persoalan yang dibangkitkan di Parlimen berhubung sebab SPRM menyiasat sendiri pegawainya yang ditangkap atas dakwaan penyelewengan terhadap wang yang dirampas dalam kes melibatkan bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

"PH menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri polis telah dibuka terhadap isu ini.

"Walau bagaimanapun, memandangkan isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.

Mereka turut menggesa kerajaan agar mempertimbang untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap isu melibatkan SPRM, serta mencadangkan langkah untuk mereformasikan badan itu.

Terdahulu, SPRM mengesahkan telah menangkap tiga pegawai kanannya sebagai sebahagian daripada siasatan erhadap salah guna kuasa dan salah kuasa dalam kes melibatkan "seorang bekas ketua jabatan".

Mereka ditangkap minggu lalu kerana didakwa menyelewengkan sebahagian daripada AS$6 juta (RM25 juta) yang dirampas daripada Hasanah setelah dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada April lalu.

Hasanah dilaporkan mahu menuntut semula wang tersebut sebelum menyedari sebahagiannya telah hilang dan digantikan dengan wang palsu.

Lihat Komen
ADS