Tajol Rosli: Mufti Perak tidak terbabit sebar SMS murtad
Polis akan menemui Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria di kediaman mufti itu sekembalinya beliau dari Syria esok bagi membantu siasatan penyebaran khabar-khabar angin mengenai murtad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Polis akan menemui Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria di kediaman mufti itu sekembalinya beliau dari Syria esok bagi membantu siasatan penyebaran khabar-khabar angin mengenai murtad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (foto bawah-kanan) berkata, Harussani Zakaria sebenarnya tidak terlibat dalam penyebaran SMS yang mendakwa ada pihak cuba menjalankan upacara mengKristiankan sejumlah orang Islam di sebuah gereja di Ipoh Ahad lepas.
"Polis mahu menemui beliau kerana namanya telah disebut oleh pihak tertentu yang terlibat dalam penyebaran SMS itu.
"Sebenarnya perkara ini tidak banyak kaitan dengan mufti. Ia ada kaitan dengan individu tertentu yang sedang disiasat oleh pihak polis," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri Anggota Dewan Undangan Negeri
Pengkalan Baru Datuk Hamdi Abu Bakar di Beruas.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telahpun mendapatkan pekenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam untuk menemui Harussani (foto kiri).
Ketika ditanya sama ada kedudukan Harussani, yang akan tamat tempoh kontraknya tidak lama lagi, turut dibincangkan dalam pertemuan itu, beliau berkata pelantikan mufti ini adalah berdasarkan perkenan Sultan.
Akibat daripada penyebaran SMS liar itu sekumpulan umat Islam dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan telah berkumpul di gereja tersebut hingga pihak polis terpaksa dipanggil bagi menyuraikan mereka.
Setakat ini polis Perak telah menahan lima individu yang dipercayai terbabit dengan penyebaran khabar-khabar angin itu.

