Kes Altantuya: Muhammad Shafee tegur Konsul Kehormat Mongolia
Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah hari ini menegur tindakan Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi yang mengeluarkan kenyataan menyentuh kedudukan pelanggannya kepada media.
Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah hari ini menegur tindakan Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi yang mengeluarkan kenyataan menyentuh kedudukan pelanggannya kepada media.
Peguam tersebut mewakili penganalisis politik terkemuka tempatan yang ditahan berhubung kes bunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu @ Aminah di Tasik Ampangan Subang, Puncak Alam di Shah Alam dua minggu lepas.
Muhammad Shafee memberi amaran dan menganggap perbuatan itu sebagai tidak adil kerana memberikan peluang kepada orang ramai menilai kes berkenaan sebelum mahkamah membuat keputusan.
"Sesiapa juga membuat kenyataan yang menyentuh mengenai fakta-fakta kes ini adalah subjudis dan menghina mahkamah," katanya kepada pemberita selepas berjumpa dan berbincang dengan keluarga penganalisis politik berkenaan di kediaman mereka di Bukit Bandaraya di ibunegara hari ini.
Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi (foto kiri) semalam memberitahu media butir-butir perhubungan penganalisis politik itu dengan model sambilan Mongolia itu.
Muhammad Shafee tiba pada pukul 12 tengah hari di rumah banglo dua tingkat itu dan berbincang selama setengah jam dengan isteri dan keluarga penganalisis itu.
"Sebaliknya kenyataan itu perlu dibawa ke mahkamah kerana tindakan sebegini juga dianggap sebagai subjudis," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan memohon mahkamah mengeluarkan injunksi bagi melarang sebarang kenyataan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kes tersebut, beliau berkata perkara itu masih dibincangkan lagi.
Menurut laporan Bernama, Muhammad Shafee (foto bawah) turut memuji pihak polis yang telah menjalankan siasatan dengan profesional tanpa mendedahkan sebarang fakta
kepada mana-mana pihak.
Katanya setakat ini beliau belum berpeluang berbincang dengan pelanggannya secara formal kerana penganalisis itu masih ditahan polis untuk siasatan awal kes itu.
Semalam, penganalisis yang berusia 46 tahun itu dikenakan perintah ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berkaitan pembunuhan itu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana mengurung dan menculik.
Muhammad Shafee turut menasihatkan pelanggannya agar memberi kerjasama seratus peratus bagi mempercepatkan siasatan polis serta membolehkan beliau bertemu dengannya segera bagi membincangkan kes itu.
Sebelum itu, pihak media yang berhimpun sejak pagi ini di rumah penganalisis politik itu mendapati rumah itu sunyi sepi dengan pintu pagarnya berkunci serta tingkap dan pintunya tertutup, walaupun terdapat dua buah kereta di hadapan rumah tersebut.
Pembunuhan ngeri
Sementara itu di Shah Alam, para pegawai pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara, anggota Jabatan Forensik Bukit Aman serta pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) hari ini membuat pemeriksaan semula di tempat kejadian pembunuhan ngeri model sambilan dari Ulan Bator itu.
Pegawai dan anggota Jabatan Forensik Bukit Aman yang menaiki kenderaan Pajero polis kelihatan masuk ke kawasan itu pada pukul 9 pagi ini, diikuti 15 minit kemudian oleh para pegawai JUPEM yang menaiki kereta pacuan empat roda jabatan itu sebelum sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda berwarna biru gelap tiba dengan membawa pasukan dari Jabatan Peguam Negara.
Lawatan mereka ke tempat kejadian itu dikatakan bagi membuat pemeriksaan semula dengan lebih terperinci mengenai kejadian pembunuhan Altantunya, 28, yang dikatakan ditembak sebelum mayatnya diletupkan menggunakan tiga bom tangan di Tasik Ampangan Subang.
Pihak media hari ini tidak dibenarkan masuk ke tempat kejadian oleh pihak polis yang berpakaian preman dengan melintangi jalan masuk dengan sebuah kereta proton Wira putih tanpa lambang polis.
Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia pada 6 Oktober bersama adik perempuannya dan seorang sepupu untuk mencari lelaki yang mempunyai hubungan seks dengannya sehingga dia melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia 16 bulan.
Mangsa didakwa menjalin hubungan sulit dengan penganalisis politik itu yang juga ketua pada satu institusi pemikir tempatan, ketika mereka bertemu di Mongolia dua tahun lepas.
Altantuya, yang dipercayai cuba untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi rawatan bayi itu, dikatakan berpeluang untuk bertemu dengan penganalisis politik tersebut pada 19 Okt lepas, iaitu kali terakhir dia ditemui hidup.
Setelah mangsa gagal muncul, adik dan sepupunya membuat laporan polis di sini dan meminta bantuan Kedutaan Mongolia di Bangkok.
Berdasarkan kepada laporan itu, tiga anggota polis, seorang daripadanya bertugas dengan Unit Tindakan Khas ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dan polis kemudian menemui cebisan mayat di satu kawasan di Puncak Alam.

