Komponen kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang diumumkan hari ini kurang memberangsangkan meskipun terdapat banyak pengalaman yang diperoleh hampir dua tahun negara ini melawan pandemik Covid-19, kata Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

"Mengingatkan apa yang dilalui oleh negara dan rakyat selama 18 bulan lalu, pengorbanan yang dilakukan oleh ribuan petugas kesihatan dan bukan kesihatan di barisan hadapan, banyak kekuatan dan jurang yang dikenal pasti, dan pengalaman sukar daripada respon terhadap Covid-19, namun komponen kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-12 agak mengecewakan,"kata ketua eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib.

Azrul berkata, dia terkejut kerana terdapat lagi kajian dilakukan mengenai pembaharuan sektor penjagaan kesihatan sedangkan sudah terdapat beberapa kajian dilakukan dalam tempoh 20 tahun lalu.

"Kita telah melakukan sekurang-kurangnya berbelas kajian selama dua dekad lalu, dengan melihat isu yang sama mengenai pembaharuan penjagaan kesihatan nasional.

"Yang terbaru dilakukan pada tahun 2016 yang ditugaskan oleh Kementerian Kesihatan dan dikendalikan oleh Harvard TH Chan School of Public Health. Janganlah kita terus menerus membazirkan masa dengan melakukan sesuatu yang telah ada," katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, berdasarkan laporan Havard, banyak pembaharuan sudah boleh dilaksanakan dengan segera.

"Apa yang diperlukan adalah keberanian dan kemahuan politik untuk melaksanakan saranan daripada kajian itu," katanya.

Azrul berkata, walaupun Rancangan Malaysia 12 mengakui adanya jurang dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti barah, diabetes dan penyakit kardiovaskular, namun hal itu hampir tidak ditangani.

"Sebelum krisis Covid-19 melanda, Malaysia sudah mengalami krisis NCD nasional. Separuh daripada populasi orang dewasa berlebihan berat badan atau gemuk.

"Data dari 2012-2016 mendapati hampir 30 peratus lebih rakyat Malaysia meninggal dunia akibat barah dalam tempoh tersebut. 3.9 juta berusia 18 tahun ke atas kini menderita diabetes.

"Semakin banyak orang didiagnosis dengan keadaan ini pada peringkat akhir, terutama setelah berlakunya koronavirus," katanya.

Azrul berkata jika negara tidak memberikan komitmen untuk meningkatkan pelaburan bagi rawatan penyakit ini dengan berkesan, lebih ramai pesakit akan meninggal dunia akibat rawatan yang kurang optimum.

"Desakan untuk memerangi NCD melangkaui sektor kesihatan dan memerlukan usaha pelbagai sektor. Kita akan hadapi masalah ini selama beberapa dekad yang akan datang.

"Sepatutnya ada penekanan yang lebih kuat untuk menangani krisis NCD," katanya.

Bagaimanapun Azrul menyokong usaha kerajaan agar rakyat yang berkemampuan dikenakan bayaran lebih bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan agar golongan yang kurang mampu mendapat subsidi.

Azrul berkata kerajaan seharusnya turut mengumumkan hasrat memperkenalkan skim insurans nasional wajib yang boleh melebarkan risiko dan lebioh mampan semasa krisis.

"Itu akan menjadi pengubah keadaan (game changer) yang betul," katanya.

[Baca berita penuh]