Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pemimpin Umno yang berani, setia saja sanggup dilabel kluster mahkamah'
Diterbitkan:  Sep 28, 2021 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemimpin Umno yang berani dan setia saja sanggup dilabelkan sebagai "kluster mahkamah".

Katanya, istilah kluster mahkamah direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Ia 'character assassination' (pembunuhan karakter) yang seterusnya selepas menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang mereka dukung dan kembali menaruh harapan kepada Umno.

"Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan 'kluster mahkamah'.

"Hanya pimpinan Umno yang berani dan setia kepada perjuangan parti sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel sebagai 'kluster mahkamah'," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi jenayah pecah amanah, lapan bagi tuduhan rasuah dan 27 bagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

Bekas timbalan perdana menteri itu menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Selain Ahmad Zahid, bekas perdana menteri, Najib Razak turut berdepan bertuduhan penyelewengan dana membabitkan SRC International Sdn Bhd dan juga 1MDB.

Turut terkait dengan pertuduhan di mahkamah ialah Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berhubung dana 1MDB.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata ada pemimpin parti tertentu terlepas daripada gelaran "kluster mahkamah" selepas melompat parti.

"Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada "moral standing" untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai kluster mahkamah.

"Dengan itu adalah wajar mereka menginsafi tingkah laku kerana rakyat zaman ini hidup di zaman bermaklumat yang mengerti apa yang berlaku," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS