Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LHDN: Kami tiada kaitan dengan kebocoran data
Diterbitkan:  Sep 28, 2021 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan laporan berita mengenai data peribadi yang didakwa dijual secara haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN mengatakan bahawa ia hanyalah pengguna sistem MyIdentity dan bukannya pemilik sistem yang didakwa berlaku kebocoran data itu.

"Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

"LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

"LHDN memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf," katanya.

LHDN menggesa orang ramai agar berhati-hati dengan tipu daya dan mendesak mereka untuk menghubungi LHDN melalui telefon (03-8911 1000 / 03-8911 1100) atau melalui laman web mereka.

Awal hari ini, blog teknologi lowyat.net melaporkan bahawa data peribadi yang didakwa diperoleh melalui sistem MyIdentity dijual dalam talian dengan harga 0.2 BTC (kira-kira RM35,030.79 pada masa penulisan).

Set data ini diiklankan di forum dalam talian yang terkenal dengan penjualan maklumat peribadi yang dicuri dari seluruh dunia.

Berdasarkan sampel yang ditunjukkan oleh penjual, set data tersebut dikatakan mengandungi tarikh lahir, e-mel, jantina, alamat surat-menyurat, nombor telefon, nombor MyKad, alamat tetap, bangsa dan agama dalam format 'json'.

Penjual tersebut mendakwa bahawa data - yang melibatkan 4 juta entri - diperoleh dari "myIdentity API" melalui laman web LHDN.

Lihat Komen
ADS