Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekuiti 51% bumiputera: Warisan bimbang syarikat dijual pada orang asing
Diterbitkan:  Sep 29, 2021 5:30 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Parti Warisan bimbang syarikat logistik tempatan terpaksa menjual syarikat kepada syarikat asing sekiranya dasar yang menetapkan 51 peratus ekuiti bumiputera bagi pemain industri yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) tidak dibatalkan.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan seharusnya meneliti kesediaan pemain bumiputera untuk membeli ekuiti syarikat-syarikat dalam industri berkenaan, bagi mengelakkan syarikat dalam industri itu tidak akan dapat bertahan dan akhirnya terpaksa gulung tikar.

“Ini lagi membimbangkan sekiranya peratusan pembeli bumiputera yang layak dan mampu untuk mengambil alih ekuiti dalam industri adalah rendah, terutamanya ketika negara mengharungi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sekiranya ini berlaku, besar kemungkinan pemain industri tempatan terpaksa menjual syarikat mereka kepada syarikat asing.

“Ini merupakan satu langkah yang memudaratkan kerana ia akan menambahkan jurang pemilikan ekuiti antara syarikat tempatan dan antrabangsa,” katanya yang menggesa kerajaan membatalkan dasar tersebut.

Kata Shafie, mengikut data Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2 peratus pada tahun 2011 kepada 45.3 peratus pada tahun 2015.

Sedangkan, katanya, pegangan ekuiti bukan bumiputera menurun dari 34.8 peratus kepada 30.7 peratus dalam tempoh yang sama, manakala pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4 peratus kepada 16.2 peratus.

Selepas Persekutuan Penghantaran Fret Malaysia (FMFF) minggu lalu menyuarakan rasa bimbang akan masa depan industri berhubung dasar yang sepatutnya dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, beberapa tokoh politik dan ekonomi tampil mengkritik dasar berkenaan.

Antaranya bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram yang berpandangan langkah itu boleh menurunkan nilai saham.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan pelaksanaan dasar ekuiti bumiputera untuk syarikat tempatan yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) ditangguh sehingga akhir 2022, bagi membolehkan ia dinilai unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Diskriminasi pemain industri tempatan

Seperti pengkritik lain, Shafie menyifatkan dasar itu mendiksriminasi pemain industri tempatan, memandangkan keperluan 51 peratus ekuiti bumiputera itu tidak terpakai kepada syarikat antarabangsa atau asing yang tertakluk di bawah banyak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Katanya, industri berkenaan telah diliberalisasikan di bawah kebanyakan FTA.

“Mana-mana syarat yang berbentuk menindas syarikat asing boleh dikira suatu pelanggaran di bawah FTA.Namun demikian, adalah tidak adil bagi kerajaan mengenakan pula penetapan ekuiti ini kepada pemain industri tempatan.

“Parti Warisan berpendirian sekiranya pihak kerajaan telah memutuskan untuk meliberalisasikan industri ini dan terbuka kepada syarikat antarabangsa tanpa apa-apa syarat lain (sebagaimana prinsip ‘national treatment’ di bawah FTA), seharusnya prinsip yang sama terpakai kepada pemain tempatan juga,” tambahnya.

Mengikut peraturan semasa, syarikat penghantaran barang dengan lesen kastam yang didaftarkan sebelum 1976 dikecualikan daripada sebarang peraturan ekuiti Bumiputera.

Bagi syarikat yang berdaftar antara 1976 dan 1990 pula, ia mesti mempertuntukkan 30 peratus ekuiti bumiputera dan syarikat yang didaftarkan selepas 1990 mesti memperuntukkan 51 peratus ekuiti bumiputera.

Syarikat yang mempunyai lesen kastam IILS pula tidak terikat dengan peraturan itu, namun ini akan berubah dengan pelaksanaan dasar berkenaan.

Kata Shafie lagi, bagi Warisan, tindakan afirmatif untuk mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia perlu dilakukan secara adil dan saksama, tanpa menindas dengan “memberi kelebihan kepada industri asing mahupun golongan elit bumiputera semata-mata”.

“Seharusnya kerajaan memberikan keutamaan kepada syarikat dalam negara untuk menjadi berdaya saing dan mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS