Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar ekonomi bimbang isu penjualan saham bumiputera di pasaran terhad

Beberapa ahli ekonomi membangkitkan kebimbangan berhubung jaringan keselamatan baru di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang mengehadkan penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya kepada pihak bumiputera.

Jomo Kwame Sundaram berpandangan langkah itu boleh menjadi pisau bermata dua kerana ia akan menurunkan nilai saham.

"Secara asasnya, nilai jualan semula akan menurun sebagai akibat daripada langkah ini, yang mungkin tidak dialu-alukan ramai dalam kelompok (bumiputera)," katanya.

Katanya lagi, semakin ramai bumiputera akan membeli saham menerusi akaun 'nominee' agar dapat melakukan transaksi dengan harga lebih tinggi di pasaran terbuka, berbanding hanya boleh menjualnya kepada bumiputera lain.

"Pada masa ini, 12.3 peratus pegangan adalah saham nominee. Lama dulu negara menjanjikan yang pihak di belakang nominee ini akan dinyatakan kepada umum. Sebaliknya, pegangan mereka terhadap saham negara meningkat.

"Orang ramai mahu tahu mengapa mereka tidak ingin mendedahkan diri mereka, dan negara juga sepatutnya mahu mengetahuinya," katanya.

Jomo berkata lagi, bumiputera merangkumi kira-kira 40 peratus pemilikan pegangan saham Malaysia yang diketahui. Ia melebihi sasaran 30 peratus yang dinyatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada mulanya dijangka tamat pada 1990.

"17.2 peratus pada nilai tara yang dimiliki bumiputera secara umumnya mempunyai nilai lebih tinggi dari segi harga pasaran sebenar seperti yang ditunjukkan banyak kajian, kerana seperti yang diketahui ramai, agensi pemilikan bumiputera mendominasi di peringkat tinggi (high end).

"Harapnya langkah ini tidak akan dilaksanakan kerana ia akan ada kesan sampingan yang tidak diinginkan. Golongan bumiputera akan dapat manfaat dengan membeli saham pada harga lebih rendah tetapi akan berat untuk menjualnya pada harga yang juga lebih rendah.

"Tentulah pelbagai kaedah boleh diperkenalkan untuk mengimbangi kesan ini, tetapi ia akan memerlukan kos dan menjadi birokratik," katanya lagi.

Jomo membangkitkan tindakan seorang menteri pada pertengahan 1970-an, yang menurutnya memperkenalkan pendekatan serupa yang dikatakan untuk kepentingan bumiputera.

"Menteri Umno selepasnya kemudian perlu menyemak semula undang-undang banyak kali untuk memperbaiki kesan yang disebabkannya, barangkali secara tidak sengaja, hanya kerana cita-cita politiknya pada masa itu.

"Langkah ini juga seperti satu ejekan kepada Keluarga Malaysia dengan meluaskan lagi jurang antara kaum, yang perdana menteri sendiri kecam dalam ucapannya di PBB.

"Di saat negara cuba memulihkan ekonomi dengan bantuan sektor swasta, pengenalan secara sembarangan langkah yang tidak dipertimbang dengan baik ini hanya akan mencetuskan keraguan dalam sektor itu," katanya lagi.

Ketika membentangkan RMK-12 semalam, Ismail Sabri berkata bahagian pembaharuan bumiputera dengan fungsi dan mandat yang lebih jelas akan dibuat dengan menugaskan semula pegawai dari setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Setakat 2019, pemilikan ekuiti korporat oleh bumiputera adalah sebanyak 17.2 peratus, dengan bukan bumiputera memiliki 25 peratus sementara 45.5 peratus dipegang oleh entiti asing dan 12.3 peratus adalah 'saham nominee'

'Akan jadi seperti hartanah lot bumiputera'

Sementara itu, profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, langkah itu akan membawa cabaran kepada saham kerana ia mengehadkan asas pasaran untuk menambah pelabur.

"Selalunya, saham seumpama itu akan mengundang premium risiko yang lebih tinggi, menjadikannya kurang daya tarikan berbanding saham yang tidak bergantung kepada jumlah pelabur yang terhad," katanya.

Katanya lagi, idea itu mungkin boleh dilaksanakan terhadap unit amanah seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan matlamat meningkatkan pemilikan pegangan, dengan syarat disokong institusi yang kukuh dan pasti selamat (fail-safe).

Setuju dengan pandangan itu, profesor ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Shazali Abu Mansor berkata langkah itu tidak adil kepada pelabur dan firma bumiputera.

"Ia juga sukar dilaksanakan kerana pasti akan ada banyak salah guna. Ia tidak adil kepada individu bumiputera yang telah melabur lebih awal dengan harapan mendapat pulangan yang lebih baik," katanya lagi.

Dia setuju yang ekuiti dipegang bumiputera mungkin menerima nasib sama dengan hartanah lot bumiputera yang memiliki harga lebih rendah kerana pasaran yang terhad.

"Ia tak praktikal kerana meletakkan pelabur bumiputera dalam kedudukan merugikan. Ekuiti bumiputera akan tiada tarikan. Kita sudah ada Amanah Saham Nasional Berhad dan institusi lain yang dapat menjaga ekuiti bumiputera," katanya lagi.

Sebaliknya, katanya lagi, kerajaan sepatutnya terus mempromosikan unit amanah seperti PNB.

Bagaimanapun penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi mengalu-aluan langkah itu, yang diyakininya dapat mengekalkan 17.2 peratus pegangan bumiputera.

"Ada keperluan untuk dasar seumpama itu kerana kita tahu ada trend di mana pihak bumiputera melepaskan ekuiti mereka kepada bukan bumiputera.

"Ia bagus untuk memastikan matlamat kerajaan dalam mencapai 30 peratus pegangan oleh bumiputera tidak disalah guna dan tiada ketirisan.

"Langkah itu, bersama-sama langkah lain dalam RMK-12, adalah untuk memastikan orang Melayu dan bumiputera terus menyokong BN, terutama Umno, dalam PRU akan datang," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS