Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muafakat politik Melayu: PAS minta usah utamakan parti sendiri
Diterbitkan:  Oct 2, 2021 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Seorang ulama PAS hari ini meminta para pemimpin politik Melayu mengutamakan "kepentingan umat" dan bukannya kepentingan peribadi bagi mengukuhkan muafakat antara mereka.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali berkata muafakat politik antara parti Melayu Islam sangat penting kepada negara.

"Setiap parti perlu mengetepikan kepentingan parti sendiri atau kepentingan peribadi dengan menjadikan kepentingan umat sebagai asas utama kebersamaan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Kenyataan bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu muncul dua hari selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempertegas pendirian parti itu untuk terus meletakkan calon di semua kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Kenyataan itu bermakna ada kemungkinan besar Umno akan berdepan dengan pertikaian pembahagian kerusi dengan parti lain yang bekerjasama dalam kerajaan sekarang, termasuk PAS.

Sesetengah kerusi dimenangi Umno pada 2018 'dilarikan' wakil rakyatnya yang melompat parti dengan menyertai Bersatu.

Kelmarin juga tular satu klip video temu bual Ahmad Zahid bersama myTV yang membayangkan rancangan Umno untuk menyertai PRU "secara solo menggunakan panji-panji BN".

Klip itu juga memaparkan kenyataan Ahmad Zahid berkata: "Saya nak tanya balik, ada ke Muafakat Nasional ni lagi?".

"Saya fikir elok Umno bertanding secara solo dengan menggunakan parti-parti BN dan kita fikir elok kerusi ini 'free for all' (bebas ditandingi sesiapa saja)," katanya.

Untuk rekod Muafakat Nasional adalah persefahaman rasmi yang dimeterai Umno bersama PAS semasa kedua-dua parti itu menjadi pembangkang. Namun di sebalik piagam yang dipersetujui bersama itu PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dijuarai Bersatu tanpa berunding terlebih dulu dengan Umno.

Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula berkata gabungan itu mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan sendiri pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri.

Kata bekas perdana menteri itu PN akan membincangkan isu tersebut tanpa menunggu maklum balas daripada BN.

“Kami belum terima apa-apa makluman daripada Umno atau BN untuk berbincang mengenai peruntukan pembahagian kerusi. Kita belum pasti hala tuju Umno ke hadapan dan belum ada satu pernyataan jelas daripada pimpinan Umno atau BN.

“Tapi realitinya dalam kerajaan, kita adalah bersama. Kalau kita hendak tunggu parti lain buat keputusan dan pendirian, ia akan ganggu urusan PRU yang hendak diatur oleh PN,” katanya.

PAS pula beberapa kali menekankan matlamat mereka mahu mendamaikan Umno dan Bersatu.

Lihat Komen
ADS