mk-logo
Berita
MP PAS minta penjelasan dana RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Anggota Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penjelasan berhubung peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina.

Timbalan ketua pemuda PAS itu turut mempersoalkan berapakah pula peruntukan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz swasta.

"Saya telah menghantar soalan untuk Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan setiap Selasa dan Khamis sepanjang sidang parlimen.

"Jika soalan naik, kita nantikan jawapan menteri pendidikan. Walau apapun, ia merupakan isu yang wajib memerlukan penjelasan," katanya pada satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Hal itu didedahkan Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim kepada Malaysiakini dan disahkan Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

"Pada 23 Sept, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina," kata Tan. 

Sebelum ini, Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Presiden Permata Al- Quran, Manolito Mohd Dahlan, dilaporkan berkata ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap sebanyak 512 maahad tahfiz di negara ini.

Selain itu jelasnya, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

Katanya lagi, sebanyak 38.1 peratus tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala sebanyak 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan.

Lihat Komen
ADS