Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata parti itu masih bersama gabungan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Menteri Sumber Manusia itu berkata MIC pada masa yang sama akan menghormati sebarang pandangan atau keputusan daripada akar umbi.

"Kita kena faham MIC, MCA dan Umno bukan hanya sebuah parti politik. Ketiga-tiga parti ini adalah sebuah perjuangan.

"Setakat ini memang keputusan bersama BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, dia diminta mengulas keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa BN.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada Umno atau BN.

“Kami belum terima apa-apa makluman daripada Umno atau BN untuk berbincang mengenai peruntukan pembahagian kerusi. Kita belum pasti hala tuju Umno ke hadapan dan belum ada satu pernyataan jelas daripada pimpinan Umno atau BN," kata Muhyiddin.

Justeru, Presiden Bersatu itu berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi akan dijalankan dalam kalangan parti Bersatu, PAS dan Gerakan bagi Semenanjung Malaysia manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di Sabah.

Sementara itu, Saravanan berkata, pucuk pimpinan tidak akan mengambil sebarang keputusan sendiri berhubung masa depan partinya.

"Kita masih menunggu keputusan daripada BN. Apa-apa juga keputusan pun, MIC tidak boleh memutuskan keputusan sendiri, kecuali keputusan muktamad daripada BN.

"Buat masa ini tiada isu membincangkan (mengenai rundingan kerusi dengan PN) di peringkat BN.

"Kita tidak boleh mengambil sebarang keputusan hanya dengan mengambil kira situasi semasa. Kita kena lihat secara keseluruhan khususnya minta pandangan daripada akar umbi.

"Jadi, kita akan adakan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan), pemilihan parti pada November. Selepas itu kita akan tengok aspirasi akar umbi dan akan membuat keputusannya," katanya.