Suspek kes bunuh Altantuya jalani ujian DNA di HKL
Penganalisis politik tempatan yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan ngeri seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, dipercayai untuk ujian sampel DNA.
Penganalisis politik tempatan yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan ngeri seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, dipercayai untuk ujian sampel DNA.
Lelaki berusia 46 tahun itu, yang berpakaian kemeja lengan pendek diiringi tiga anggota polis dibawa ke Jabatan Kecemasan HKL pada 11.55 pagi tadi.
Ketibaan mereka di hadapan hospital itu diserbu wartawan dan jurufoto media tempatan, namun kesemua mereka meluru masuk ke Jabatan Kecemasan itu.
Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor, seorang anggota berpangkat konstabel dan seorang anggota wanita berpangkat Lans Koperal, yang turut ditahan reman berhubung kes berkenaan, tiba dengan sebuah van putih di HKL beberapa minit kemudian.
Menurut laporan Bernama yang memetik sumber polis, penganalisis itu dan ketiga-tiga anggota polis berkenaan dibawa ke HKL bagi mengambil sampel ujian DNA mereka untuk membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Kesemua tahanan dibawa keluar melalui pintu belakang pada 1.45 petang tanpa pengetahuan wartawan yang menunggu sejak awal pagi.
Pihak pengurusan hospital dan polis enggan memberi sebarang maklumat di mana pengambilan sampel DNA mereka dilakukan.
Setakat ini enam orang termasuk dua penyiasat persendirian telah ditahan berkaitan kes itu bagi membantu polis mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut.
Semalam polis juga dilaporkan telah mengambil beberapa barangan bukti dari rumah penganalisis politik itu.
Keluarga mangsa pembunuhan itu pula telah tiba di Malaysia petang semalam dan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan termasuk menandatangani beberapa dokumen.
Sementara itu Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman al-Habshi (foto kiri) turut diminta memberi kenyataan kepada polis berhubung kes tersebut.
Syed Abdul Rahman tiba dengan sebuah kereta polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 7.30 pagi. Pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari, sebuah kereta Mercedes berwarna hitam dan bercermin gelap dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat polis itu dan Syed Abdul Rahman dilihat memasuki kereta itu dan meninggalkan tempat itu kira-kira 20 minit kemudian.
Ini menyebabkan para wartawan dan jurugambar yang menunggu lebih enam jam gagal menemubualnya.
Apabila dihubungi oleh Bernama kemudian, Syed Abdul Rahman berkata beliau telah memberi kerjasama penuh kepada polis dengan memberi maklumat relevan yang diminta termasuk mengenai mangsa, keluarga mangsa dan ketibaan keluarga mangsa dari Mongolia malam tadi.
Pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari kereta Mercedes berwarna hitam yang dipandu oleh Syed Abdul Rahman berada di HKL pula. Kereta itu diserbu oleh jurugambar untuk merakamkan gambar ayah Altantuya, yang dipercayai turut berada dalam kereta tersebut.

