Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia panggil duta China untuk bantah pencerobohan

Kementerian Luar memanggil Duta Besar China pada Isnin untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan serta aktiviti kapal-kapal negara berkenaan - termasuk kapal penyelidikan - di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra lewat malam tadi, keberadaan dan aktiviti kapal-kapal itu bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

“Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan di dalam perairan negara,” kata kenyataan itu.

Malaysia juga sebelum ini pernah membantah pencerobohan oleh kapal-kapal asing yang lain ke dalam perairan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama.

Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982.

- Bernama

Lihat Komen
ADS