Najib: BPR tidak boleh siasat politik wang dalam Umno...
Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh menyiasat kes rasuah atau salah guna kuasa dalam Umno jika perbuatan itu tidak melanggar undang-undang negara, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh menyiasat kes rasuah atau salah guna kuasa dalam Umno jika perbuatan itu tidak melanggar undang-undang negara, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menegaskan, jika dakwaan politik wang atau salah guna kuasa itu tidak melanggar undang-undang negara, ia adalah tanggungjawab Lembaga Disiplin Umno dan parti itu untuk menyiasatnya sendiri.
"Rasuah politik wang dalam Umno adalah tanggungjawab Lembaga Disiplin dan Umno sendiri...tapi kalau ada rasuah atau salah guna kuasa yang melibatkan pelanggaran undang-undang negara, masa itu BPR boleh masuk," katanya kepada media selepas merasmikan kursus kepimpinan dua hari Kelab Umno Luar Negara di ibunegara hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Zulkipli Mat Noor yang berkata badan itu mempunyai kuasa menyiasat kes rasuah politik jika terdapat unsur pembelian undi.
Menyentuh tentang laporan akhbar hari ini bahawa BPR sedang mengawasi lebih 1,500 individu dalam sektor awam dan swasta yang dipercayai hidup mewah melebihi kemampuan mereka, Najib berkata kerajaan memang serius dalam soal memerangi rasuah.
Zulkipli juga berkata siasatan terhadap individu berkenaan tertumpu kepada mereka yang terbabit dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, pengeluaran permit dan kontrak serta perolehan dan tender.
Katanya, kerajaan menyerahkan kepada BPR untuk menyiasat sebarang aduan berhubung rasuah dan terpulang kepadanya untuk bertindak terhadap sebarang aduan atau tuduhan rasuah.
"Kalau BPR nak siasat, kita serah pada BPR untuk siasat...itu kerja dialah," katanya.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri mengingatkan, segala tuduhan perlu disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.
"Semua tuduhan seperti yang kita sedia maklum mestilah disiasat dulu. Kita tidak boleh menuding jari kita tanpa kita menjalankan siasatan...yang pasti kena ada bukti yang kukuh," katanya.

