Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aktiviti ke luar negara, melancong dibenarkan tanpa My Travel Pass
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 3:30 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mereka yang telah lengkap dua dos vaksinasi dibenarkan ke luar negara tanpa memohon My Travel Pass bermula esok.

Menurutnya, kebenaran itu tidak hanya tertakluk kepada urusan rasmi kerajaan, pendidikan ataupun urusan perniagaan tetapi juga aktiviti pelancongan.

"Sesiapa sahaja warganegara boleh ke luar negara termasuk aktiviti pelancongan," katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun perdana menteri berkata kelonggaran itu hanya terpakai bagi rakyat Malaysia yang telah mendapat dua dos vaksin Covid-19.

"Jika syarat utama itu dipenuhi, maka mereka boleh ke luar negara," katanya.

Ismail berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan mengambil maklum tentang keadaan rakyat Malaysia yang terpisah dengan sanak saudara yang berada di luar negara.

Katanya, bagi rakyat Malaysia yang berhasrat pulang ke tanah air, mereka perlu menjalani kuarantin mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menjalani tempoh 14 hari kuarantin sejurus tiba ke negara ini.

Manakala bagi warganegara, mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Antara lain, mereka mesti menjalani ujian calitan Covid-19 tiga hari sebelum pulang ke tanah air dan setibanya ke negara ini.

Sempadan negara belum dibuka untuk pelancong

Menjawab pertanyaan pemberita, Ismail Sabri berkata pintu masuk negara masih belum dibuka kecuali sekiranya ia melibatkan kecemasan, perniagaan atau urusan rasmi.

"Itu kita benarkan. Tetapi untuk pelancong masih belum kita buka.

"Tapi Insyallah kita percaya KKM sddang menilai negara-negara yang tiada berisiko langsung sebagai contoh," katanya.

Katanya, perkembangan itu mungkin akan dijadikan pertimbangan KKM untuk membuka sempadan di negara ini kepada pelancong asing, asalkan ia menepati enam kriteria yang disebutkan sebelum ini.

"Kalau dulu kita pernah lancarkan green travel bubble, ada tujuh negara yang kita nak buka tapi akhirnya kita tutup semula kerana kes meningkat di negara mereka.

"Sekarang hampir seluruh dunia sudah pun dapat memberikan vaksin di negara mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS